Wakil DAP lain kekal dalam kerajaan - Anthony Loke

Wakil DAP lain kekal dalam kerajaan – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) ketika sidang akhbar mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib di Ibu pejabat DAP hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, tawaran peletakan jawatan hanya membabitkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri, manakala wakil DAP lain kekal dalam kerajaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat hampir tiga jam bagi membincangkan perkembangan terbaharu berkenaan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan tindakan politik DAP menyebabkan ketidakstabilan politik, selain memberi ruang kepada pihak tertentu menggugat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setakat ini peletakan jawatan hanya membabitkan diri saya sebagai anggota Jemaah Menteri dan pemegang jawatan lain daripada DAP masih kekal dalam kerajaan.

“Anggota Jemaah Menteri lain yang mewakili DAP termasuk menteri, timbalan menteri serta pemegang jawatan lain akan kekal berada dalam kerajaan buat sementara waktu,” katanya dalam sidang akhbar mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib di Ibu pejabat DAP hari ini.

Dalam sidang akhbar itu, Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung semalam.

Tambah Anthony Loke, keputusan itu dibuat kerana DAP tidak mahu tindakan politik parti menyebabkan ketidakstabilan politik atau menyebabkan Perdana Menteri hilang keyakinan dan majoriti.

Beliau berkata, keadaan tersebut boleh menyebabkan Parlimen terpaksa dibubarkan atau berlaku perubahan kerajaan, selain memberi ruang kepada pihak tertentu mencapai cita-cita politik mereka.

“DAP menyedari terdapat pihak yang menunggu parti itu keluar daripada kerajaan dan tidak mahu memberikan ruang kepada mereka dalam perkara tersebut.

“Namun, anggota lain juga bersedia melepaskan jawatan pada bila-bila masa, namun CEC memutuskan mereka kekal dalam jawatan sementara waktu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×