Syahmi wakil negara pertandingan bahasa Inggeris dunia di Itali

Syahmi wakil negara pertandingan bahasa Inggeris dunia di Itali

Muhammad Syahmi Sharudin menunjukkan surat tawaran kelayakan ke peringkat akhir dunia Pertandingan Bahasa Inggeris HIPPO – English Without Borders Antarabangsa 2026 yang akan berlangsung di Spoleto, Itali. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru, mencipta kejayaan membanggakan apabila layak ke Peringkat Akhir Dunia Pertandingan Bahasa Inggeris HIPPO – English Without Borders Antarabangsa 2026 yang akan berlangsung di Spoleto, Itali.

Muhammad Syahmi Shahrudin, 17, dengan HIPPO ID 14040546, berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas me­nunjukkan pencapaian cemerlang dalam pertandingan berkenaan di peringkat saringan yang diadakan secara dalam talian.

Peringkat akhir pertandingan antarabangsa itu dijadual ber­langsung dari 28 September hingga 1 Oktober 2026 di Albo­boroz Palace Hotel, Via Giacomo Matteotti, Spoleto, Itali, dengan pelajar berkenaan akan ditempatkan di penginapan yang disediakan pihak penganjur.

Pertandingan HIPPO yang dianjurkan oleh Global Hippo Association, sebuah pertubuhan bukan berasas keuntungan, diadakan setiap tahun membabitkan lebih 70 negara dan diser­tai lebih 108,000 pelajar.

Daripada jumlah itu, hanya kira-kira 500 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir dunia.

Kejayaan Muhammad Syahmi sekali gus mengharumkan nama SMK Sultan Ismail, Johor Bahru dan Malaysia selain membuktikan kemampuan pe­lajar tempatan bersaing di pentas antarabangsa dalam penguasaan bahasa Inggeris.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada cikgu bahasa Inggeris saya Cikgu Faiza Salikin yang beri semangat dan suruh saya masuk pertandingan ini.

“Mulanya saya agak gementar dan tidak begitu yakin tetapi setelah mendapat kata-kata semangat daripada Cikgu Faiza saya beranikan diri dan masuk pertan­dingan ini dan akhirnya terpilih ke peringkat akhir,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Anak bongsu dari tiga bera­dik ini berjaya melangkah ke pe­ring­kat akhir di Itali secara merit setelah mendapat markah ter­tinggi bersama tiga lagi pelajar.

Menurut Syahmi, tiga lagi pelajar yang terus melangkah akhir ialah dari SMK Sultan Badlishah, Kulim Kedah, Sabah Tshung Secondary School dan Sri KDU Secondary School, Kota Damansara.

“Saya bersama tiga pelajar layak secara merit dan tidak perlu menghadiri peringkat pemilihan saringan di London,” katanya.

Jelasnya dia kini menunggu tajaan sumbangan kerajaan Johor sepanjang berada di Itali bagi pembiayaan tiket kapalterbang pergi dan balik dan pengangkutan dan dijangka bertolak pada 26 September ini.

“Terima kasih atas perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendi­dikan dan Penerangan Johor Dr Muhammad Naqib Mohd. Ghazali kerana sudi membantu saya mendapatkan tajaan perbelanjaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×