Kraftangan pandan laut menanti pewaris

Kraftangan pandan laut menanti pewaris

CHE Teh Ambak melakukan proses menganyam tikar daun pandan laut yang diusahakannya di Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Meskipun hidupnya kian dimamah usia, jari-jemarinya masih lincah menyusun helaian daun pandan laut satu demi satu sehingga membentuk corak anyaman yang kemas dan sarat dengan nilai warisan.

Di sebalik ketekunan itu, tersimpan kebimbangan buat seorang penganyam warga emas, Che Teh Ambak, 74, apabila seni berkenaan semakin kurang dipelajari generasi muda.

Keadaan semakin membimbangkan apabila di daerah ini hanya dua individu yang masih aktif menghasilkan kraftangan dauh pandan laut secara komersial, sekali gus menjadikan warisan tersebut berada di ambang kepupusan jika tiada pelapis baharu.

Che Teh berkata, dia mula mengenali seni anyaman tumbuhan tropika tersebut ketika berusia 16 tahun dan mempelajarinya sendiri sebelum kembali aktif menghasilkan kraftangan pandan laut sejak 2016.

Bagi warga emas itu, setiap helaian daun pandan laut bukan sekadar bahan untuk menghasilkan tikar, sejadah atau bakul tetapi ia menyimpan kemahiran yang diwarisi dan perlu dipertahan untuk generasi baharu.

“Pandan laut berbeza dengan mengkuang kerana daunnya lebih lembut dan mudah dianyam. Pokok ini lazimnya tumbuh di kawasan pesisir pantai dan paya bakau, namun tidak ramai yang tahu ia boleh dijadikan kraftangan bernilai yang mencecah harga ratusan ringgit sebidang tikar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

BUKAN SEKADAR ANYAMAN BIASA

Keunikan anyaman daun pandan laut bukan hanya bermula daripada proses pengambilannya malah perlu melalui pelbagai proses penyediaan yang panjang sebelum helaian daun itu boleh digunakan.

Pokok pandan laut terbaik hanya diperoleh di kawasan tanah bencah di sekitar Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Gong Batu, di sini.

Menurut Che Teh, proses pertama pembuatannya adalah pembuangan duri dan tulang tengah daun itu sebelum dipotong halus dan ditumbuk.

CHE Teh Ambak mengambil daun dari pokok pandan laut untuk dijadikan tikar di Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu.

Selepas itu ia perlu direbus kira-kira setengah jam, direndam selama dua malam dalam adunan pewarna dan dijemur seharian di bawah sinar matahari. Bagi menghasilkan warna yang lebih terang dan tahan lama, pewarna turut dicampurkan dengan air rebusan asam gelugur sebelum digunakan pada daun.

Selepas proses tersebut, barulah kemahiran tangan memainkan peranan untuk penganyaman. Menerusi kemahiran dimilikinya, Che Teh mampu menghasilkan pelbagai bentuk anyaman tikar dan tikar sejadah dengan corak bunga menara berkembar, bunga cengkih, bunga tapuk itik dan bakul besar. Selain itu, dia menghasilkan pelapik pinggan dan gelas serta tikar kapan jenazah.

“Untuk menyiapkan sehelai sejadah, saya memerlukan masa kira-kira seminggu dan memberikan tumpuan sepenuhnya kerana ia memerlukan kemahiran khusus,” katanya.

DARI KAMPUNG KE LUAR NEGARA

Ketika seni tersebut semakin dilupakan di tempat asalnya, namun hasil anyaman daun pandan laut mempunyai nilai dan pasaran yang besar.

Che Teh berkata, hasil air tangannya itu turut dipasarkan melalui pihak pelancongan, komuniti setempat serta tempahan pelanggan termasuk dari luar negara.

Pada 2020, Che Teh pernah menerima tempahan dari Brazil untuk menghasilkan 36 keping pelapik pinggan dan 24 pelapik cawan bernilai kira-kira RM11,000.

Selain itu, dia pernah menerima tempahan daripada pelanggan di England yang menjadikan hasil anyaman sebagai buah tangan dan cenderamata untuk dibawa pulang kepada keluarga di negara asalnya.

Menurutnya, dari segi harga tikar yang dibuat dari pandan laut itu bergantung kepada saiz dan jenis produk, yang mana ia dijual serendah RM50 sekaki, manakala sebidang tikar boleh mencecah antara RM400 hingga RM900.

Keadaan itu membuktikan seni tradisional yang dianggap semakin ketinggalan sebenarnya mampu mempunyai nilai komersial jika diberikan perhatian dan dipasarkan dengan pendekatan yang sesuai.

MENUNGGU GENERASI PEWARIS

Bagi Che Teh apa yang lebih menyedihkan, usaha melonjakkan seni itu kepada generasi baharu belum mampu menjamin kelangsungannya meskipun dia sering menyertai pameran bagi memperkenal kraftangan daun pandan laut, selain berkongsi kemahiran dengan mereka yang berminat.

CHE Teh Ambak menunjukkan daun pandan laut yang siap diproses sebelum dijadikan tikar di Kampung Gong Batu, Setiu, Terengganu.

Namun, kebanyakan yang datang hanya belajar asas menganyam tanpa meneruskannya secara serius atau menjadikannya sumber pendapatan. Dalam usia yang semakin lanjut, Che Teh sedar kemahiran yang dimilikinya tidak akan kekal jika tiada individu yang mahu menyambungnya.

“Itulah cabaran terbesar yang perlu dihadapi sebelum seni anyaman pandan laut hanya tinggal sebagai cerita dalam lipatan sejarah masyarakat pesisir. Warisan ini tidak akan hidup hanya kerana ia cantik untuk dipamerkan. Ia perlu dipelajari, diamalkan dan diwariskan,” katanya.

Katanya, jika tiada generasi yang mahu duduk belajar, memegang helaian daun dan merasai sendiri susahnya menghasilkan anyaman, tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat hanya mampu mengenali pandan laut melalui gambar dan kisah orang terdahulu.

Che Teh berharap lebih ramai golongan muda tampil mempelajari seni tersebut agar warisan yang dibina dengan ketekunan selama puluhan tahun tidak terkubur begitu sahaja.

Baginya, mempertahan anyaman daun pandan laut bukan semata-mata soal menjual tikar atau kraftangan, tetapi memastikan satu identiti masyarakat pesisir terus bernyawa untuk diwariskan kepada generasi akan datang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×