BATU KAWAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang mengumpulkan maklumat termasuk berkaitan manfaat daripada pindaan Akta Sewa Beli 2026 kepada pengguna selepas ia mula dikuatkuasakan pada 1 Jun yang lalu.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, berdasarkan maklum balas awal yang diterima setakat ini, terdapat peningkatan dari segi penggunaan akta berkenaan khususnya bagi tujuan sewa beli.
“Sasaran kita ialah, menjelang Januari nanti, data penuh mengenai perkara ini dapat dikeluarkan. Maknanya, dalam tempoh enam bulan ini iaitu dari Jun hingga Disember, kita akan kumpulkan data tersebut sebelum membuat pengumuman mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa majlis penutup Festival Pengguna (Confest) di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 mula diwartakan pada 30 Januari lalu sebelum pindaannya dikuatkuasakan pada 1 Jun dalam usaha meningkatkan ketelusan, memperkukuh perlindungan pengguna serta memodernisasikan ekosistem pembiayaan kredit.
Sementara itu, Armizan memberitahu, di peringkat institusi perbankan yang menyediakan perkhidmatan sewa beli pula, sebanyak 14 daripada 20 buah bank telah pun menawarkan pembiayaan dengan kaedah baki berkurangan setakat 18 September lalu.
Beliau berkata, berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan dengan institusi terbabit, baki enam lagi bank telah menyatakan komitmen mereka untuk melengkapkan proses peralihan selewat-lewatnya 31 Disember ini.
“Secara keseluruhannya, terdapat 429 entiti dalam kalangan institusi perbankan dan syarikat penyedia sewa beli yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia (AHPCM).
“Justeru, bagi memastikan peralihan yang tersusun, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang belum bersedia sepenuhnya diberikan tempoh penyesuaian sehingga 31 Mac 2027,” katanya.
Tambah beliau, KPDN juga menyasarkan sebanyak 80 peratus penyedia perkhidmatan sewa beli akan menawarkan pembiayaan tersebut dengan pematuhan di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dan kewajipan pematuhan sepenuhnya pula akan bermula 1 April tahun depan.-UTUSAN











