Bayu Somerset jadikan Johor Bahru hab tembusi pasaran serantau

Bayu Somerset jadikan Johor Bahru hab tembusi pasaran serantau

ANTARA yang memeriahkan perasmian cawangan Bayu Somerset di Toppen Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor Bahru bakal dijadikan hab strategik Bayu Somerset untuk memperluaskan pasaran jenama fesyen tempatan itu ke Singapura dan Indonesia.

Ketua Pegawai Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin berkata, kedudukan Johor Bahru sebagai destinasi beli-belah popular dalam kalangan pelancong dari kedua-dua negara berkenaan memberi peluang besar kepada syarikat untuk menarik pelanggan serantau.

Menurutnya, pembukaan cawangan ke-21 Bayu Somerset di pusat beli-belah Toppen, Tebrau, bukan sekadar memperluas rangkaian perniagaan, sebaliknya menjadi langkah strategik untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Kita sedia maklum Johor Bahru adalah destinasi membeli-belah utama, terutama untuk pelanggan dari Singapura dan Indonesia.

“Kami sudah menyediakan pelan strategik untuk menarik minat mereka terhadap jenama kami, sekali gus membuka peluang kepada Bayu Somerset menerokai pasaran antarabangsa,” katanya pada majlis pembukaan cawangan berkenaan di sini hari ini.

Dania berkata, kelebihan Johor Bahru sebagai pintu masuk kepada pelancong dari Singapura dan Indonesia akan dimanfaatkan sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan Bayu Somerset kepada lebih ramai pelanggan luar negara.

“Kami melihat potensi itu dan mahu menggunakan kedudukan Johor Bahru sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan Bayu Somerset kepada lebih ramai pelanggan dari luar negara,” katanya.

Pembukaan cawangan baharu itu diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia, selain menjadi sebahagian daripada ulang tahun kelima penubuhan Bayu Somerset.

Dania berkata, sambutan itu turut menjadi platform untuk pihaknya menghargai anak-anak Johor yang mencipta kejayaan, memberi inspirasi dan menyumbang kepada masyarakat.

“Kami teruja dan berbesar hati mendapat peluang meraikan pembukaan cawangan ke-21 bersama Anak-Anak Johor yang diundang khas memeriahkan majlis pada hari ini.

“Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran dengan membawa cerita, pengalaman istimewa serta kisah inspirasi tersendiri,” katanya.

Antara individu yang menerima penghargaan ialah pensyarah dan penyanyi, Najwa Latif, yang berasal dari Batu Pahat dan mencipta nama dalam industri muzik sejak usia remaja sebelum bergelar pensyarah TESL di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut diraikan ialah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia selepas muncul juara Play-Off Qualifier Hippo English Without Borders 2026 di Doha, Qatar.

Bayu Somerset turut menghargai sumbangan profesional komunikasi korporat, Yusuf Hassan, yang mempunyai kepakaran dalam produksi video serta bertanggungjawab mengetengahkan profil dan aktiviti Johor Corporation (JCorp).

Kumpulan Tarian Sanggar Citra Tari turut diraikan sebagai wakil generasi muda yang terus menghidupkan seni dan ekspresi budaya menerusi persembahan, termasuk di persada antarabangsa.

Majlis pembukaan turut diserikan dengan persembahan tarian tradisi, sesi penghargaan serta tawaran diskaun dan promosi khas kepada pengunjung.

Sempena pembukaan itu, Bayu Somerset turut menyediakan hadiah eksklusif dan diskaun istimewa kepada anak-anak Johor serta pengunjung sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×