KAJANG: Integriti dalam kewartawanan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan laporan berkaitan rasuah disampaikan secara tepat dan bertanggungjawab demi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setiap laporan berita mempunyai kesan terhadap persepsi awam termasuk reputasi individu dan organisasi.
Katanya, dalam era digital yang pantas, masyarakat bukan sahaja memerlukan maklumat yang cepat, malah lebih penting, maklumat yang sahih, benar, tepat dan bertanggungjawab.
“Saya amat berharap hubungan baik antara SPRM dan media dapat terus diperkukuhkan, khususnya dalam memastikan isu-isu berkaitan rasuah dilaporkan secara profesional, beretika dan berintegriti.
“Dalam konteks kewartawanan, integriti menjadi asas kepada kepercayaan masyarakat.
“Setiap berita yang disampaikan mempunyai kesan terhadap persepsi awam, reputasi individu dan organisasi, malah boleh mempengaruhi keyakinan masyarakat terhadap institusi negara,” katanya berucap dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Abd Halim berkata, SPRM tidak boleh bergerak bersendirian dalam usaha membanteras rasuah, sebaliknya media merupakan antara rakan strategik penting dalam menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu berkenaan.
Katanya, usaha membanteras rasuah bukan hanya tertumpu kepada tangkapan, pendakwaan dan hukuman, sebaliknya turut merangkumi aspek pencegahan, pendidikan, kesedaran serta pembudayaan nilai integriti dalam kehidupan seharian.
“Sehubungan itu, rakan-rakan media mempunyai peranan yang amat besar dalam menyampaikan mesej tersebut kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu Abd Halim berkata, program menembak bersama media memberi peluang pengamal media memahami aspek ketelitian, disiplin, fokus, kawalan emosi dan ketepatan yang diperlukan pegawai SPRM ketika melaksanakan tugasan.
Penggunaan senjata api katanya, bukan sekadar soal kekuatan atau keberanian, sebaliknya menuntut disiplin, kawalan diri, pematuhan prosedur keselamatan dan tanggungjawab yang tinggi.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara SPRM dan media. – UTUSAN











