DIDIKAN agama daripada ibu bapa khususnya dalam membaca al-Quran menjadi titik permulaan kepada Mohamad Hasan Tengku Besar untuk terus mencurahkan ilmu sebagai guru al-Quran, khidmat yang masih diteruskannya sehingga kini meskipun usianya mencecah 80 tahun.
Segalanya bermula ketika beliau masih kecil di kampung kelahirannya di Sungai Lampam, Pasir Salak, Perak, apabila kedua-dua ibu bapanya sendiri mengajarnya membaca al-Quran.
Mohamad Hasan yang dilahirkan pada 1946 berkata, beliau dididik mengenai agama sejak kecil. Namun pembelajaran ketika itu serba terhad berikutan kemudahan perhubungan dan komunikasi yang belum semaju hari ini.
Katanya, keadaan serba kekurangan pada zaman tersebut tidak menghalangnya daripada mendalami ilmu agama apabila ibu bapanya sendiri mengadakan kelas al-Quran di rumah.
“Saya masih ingat, saya duduk bersila di depan ayah saya mengajar saya dan adik mengaji al-Quran sambil memegang rotan.
“Saya hanya belajar dengan ayah saya dan hasilnya pada umur tujuh tahun saya sudah boleh membaca al-Quran,” katanya.
Beliau kini Pengerusi Lembaga Tadbir dan guru di Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Pasir Salak, Perak.
Menurutnya, beliau kemudian meneruskan pengajian di sekolah rendah sebelum menyambung pengajian dalam aliran agama di Sekolah Khas Agama Teluk Intan, iaitu Madrasah Ihsaniah di bawah Kerajaan Negeri Perak.
Katanya, beliau menuntut di madrasah berkenaan selama lapan tahun sehingga berusia 17 tahun sebelum mula mengajar al-Quran di sebuah madrasah di Teluk Intan.
Dalam tempoh sama, beliau turut berkhidmat sebagai bilal di Masjid Al-Mansur, Sungai Lampam di Pasir Salak.
“Pada masa itu ada kekurangan guru al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan pihak Kemas mengambil saya sebagai tenaga pengajar al-Quran mengajar di Langkap, Sungai Seluang di Pasir Salak.
“Saya mengajar sampai umur 22 tahun selain saya juga menjadi guru sementara di Sekolah Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Pasir Salak dalam mata pelajaran Pendidikan Islam dan al-Quran,” katanya.
Menurut Mohamad Hasan, pada 1989, Sekolah Menengah Agama Rakyat Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Pasir Salak dibangunkan oleh Allahyarham rakannya yang dikenali sebagai Ustaz Sulam sebelum beliau dipelawa untuk mengajar di sekolah berkenaan.
“Saya mengajar di sini selama tiga tahun sebelum pada 1992 saya jadi Penyelia Agama Bina Insan Kemas Negeri Perak yang berpejabat di Ipoh.
“Saya gembira kerana dapat mencurahkan ilmu kepada pelajar. Al-Quran penting buat kita sebagai umat Islam,” katanya.
Demi memudahkan penyampaian ilmu membaca al-Quran, Mohamad Hasan turut menjadi antara kumpulan tenaga pengajar terawal yang mempelajari kaedah Iqra’, iaitu kaedah mudah dan cepat untuk membaca al-Quran yang diasaskan seorang guru agama dari Yogyakarta, Indonesia dan digunakan secara meluas di Malaysia.
“Saya mendapat ilmu ini daripada pengasas kaedah Iqra’ sendiri di Jasin, Melaka. Saya dan beberapa guru agama sama-sama menjadi ‘master trainer’ berlatih dengan ustaz yang mengasaskan kaedah Iqra’.
“Saya menyampaikan kaedah pembelajaran Iqra’ kepada pelajar untuk memudahkan mereka belajar al-Quran,” katanya.
Menurutnya, umat Islam perlu mempelajari al-Quran sejak kecil dan berusaha menguasai bacaan al-Quran dengan betul serta lancar.
Katanya, antara kepentingan mempelajari dan membaca al-Quran adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, selain memberikan ketenangan kepada hati apabila dilakukan dengan ikhlas dan penuh penghayatan.
“Selain itu, membaca al-Quran juga memberikan pahala kepada pembacanya. Amalan membaca al-Quran boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada selepas solat, pada waktu lapang atau sebelum tidur,” katanya.
Jelasnya, pembelajaran al-Quran amat penting dalam kehidupan setiap umat Islam kerana kitab suci itu bukan sahaja menjadi sumber pahala, malah menjadi panduan dalam menjalani kehidupan yang baik.
“Kita hendaklah meluangkan masa untuk membaca dan mempelajari al-Quran secara berterusan. Dengan menjadikan al-Quran sebagai sebahagian daripada kehidupan, kita dapat membentuk diri menjadi insan yang berakhlak mulia dan diredai oleh Allah SWT,” katanya.-UTUSAN










