KUALA TERENGGANU : Sebanyak 2,180 kes berkaitan penerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Terengganu diselesaikan yang melibatkan pembayaran kira-kira RM10.9 juta sepanjang tahun ini.
Pengarah Perkeso Terengganu, Hisham Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut menunjukkan kepentingan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Katanya, pekerja perlu memastikan majikan masing-masing berdaftar dan membuat caruman dengan Perkeso bagi membolehkan mereka mendapat perlindungan serta kemudahan yang disediakan.
“Sekiranya didapati bekerja tetapi tidak mencarum, Perkeso tidak dapat membantu mereka yang tidak memenuhi kelayakan caruman ditetapkan. Justeru itu, saya nasihatkan pekerja di luar sana supaya memastikan majikan berdaftar dan mencarum dengan Perkeso,” katanya pada Program Jalinan Mesra Perkeso bersama petugas media Terengganu di sini, hari ini.
Hisham berkata, Perkeso melaksanakan Op Kesan di peringkat negeri dalam masa terdekat dalam usaha meningkatkan pematuhan majikan terhadap kewajipan mendaftar perusahaan serta mencarum untuk pekerja.
Katanya, majikan yang belum mendaftar dan mencarum disaran tampil ke pejabat Perkeso bagi memastikan pekerja mereka mendapat perlindungan sewajarnya.
Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 87 peratus pencarum di bawah skim perlindungan bukan bencana kerja masih memilih mendapatkan perlindungan Perkeso.
Menurutnya, pekerja yang sebelum ini memilih untuk pilihan keluar masih berpeluang menyertai semula skim berkenaan dengan membuat pilihan masuk pada bila-bila masa. – UTUSAN











