Bukit Aman siasat video persenda Rukun Negara

Bukit Aman siasat video persenda Rukun Negara

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membuka siasatan berhubung penularan video persembahan pentas yang didakwa mempersendakan lima prinsip Rukun Negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan pertama berhubung video berkenaan diterima di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 8.30 malam.

Katanya, siasatan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Ya, saya sahkan laporan pertama berhubung kes ini dibuat di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju. Bagaimanapun, siasatan kes akan dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Tambahnya, pihak polis menjangkakan ada beberapa lagi laporan yang dibuat di seluruh negara.

“Namun ia akan dirujuk kepada laporan asal di Wangsa Maju,” katanya. 

Video berkenaan dipercayai memaparkan lima pelakon mengeluarkan kenyataan berunsurkan perkauman selain menyelitkan sindiran ketika bacaan lima prinsip Rukun Negara, sebelum rakaman berkenaan dipercayai dipadam daripada akaun Instagram @THEFEVERKINETIC dan dikongsikan semula oleh pengguna Facebook.

Semakan mendapati The Fever Kinetic ialah kumpulan teater fizikal antara budaya yang berpangkalan di London, United Kingdom dan Malaysia, ditubuhkan oleh seorang koreografer tempatan.

Klip persembahan berdurasi kira-kira 10 minit itu dipercayai pernah dipentaskan dalam acara Theatre for The Arts pada 2018 dan dimuat naik semula sempena sambutan Hari Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×