HENGDIAN World Studios China, studio filem dan televisyen terbesar di dunia, kini mula menawarkan peluang kepada pelancong untuk menghasilkan drama pendek mereka sendiri dengan bayaran sekitar 606 yuan (RM367) seorang.
Insiatif terbaharu itu dilancarkan sebagai usaha menangani kemerosotan industri tersebut yang semakin merudum akibat ledakan kecerdasan buatan (AI).
Sebelum ini, pelancong berkunjung ke Hengdian World Studios untuk melihat set penggambaran drama kegemaran mereka dan meneroka lebih 100 substudio merentasi kawasan seluas 30 kilometer persegi yang turut mempamerkan sejarah China sepanjang 5,000 tahun.

Kini, studio-studio berkenaan melalui transformasi besar. Lokasi yang dahulunya merupakan tumpuan peminat melihat bintang kesayangan mereka, berubah menjadi tarikan untuk golongan yang bercita-cita menjadi pelakon sebenar.
Pada Ogos, lokasi itu melancarkan perkhidmatan yang membolehkan pelancong merakam drama pendek mereka sendiri.
Peserta perlu membayar sekurang-kurangnya 218 yuan (RM132) untuk pengalaman berlakon selama satu jam, manakala bayaran sebanyak 388 yuan (RM235) dikenakan jika khidmat solekan dan penggayaan turut disertakan.
Pakej berkumpulan turut ditawarkan pada harga 3,800 yuan (RM2,301) dan 12,000 yuan (RM7,267), masing-masing disasarkan kepada keluarga dan syarikat yang mencari aktiviti membina semangat berpasukan.
Menurut China National Radio, tahun lalu, Hengdian World Studios menyaksikan peralihan daripada drama bersiri berlatarkan landskap tradisional kepada drama pendek, dengan lebih 4,000 kru terlibat.
Trend perniagaan baharu itu membantu studio itu mencatatkan pertumbuhan 237 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Seorang pengarah, Zhang mengakui hanya mengarahkan penggambaran dua drama pada awal tahun, kemerosotan yang belum pernah berlaku berbanding tahun-tahun sebelumnya akibatan ledakan penerbitan menggunakan AI.
Bagaimanapun, menerusi program pelancongan baharu itu, beliau kini mampu menghasilkan sehingga 20 drama pendek dalam sehari.
Sesetengah pengarah yang pernah bekerja sebagai pelakon tambahan di Hengdian World Studios juga mahir membimbing pendatang baharu dalam dunia lakonan.
Mereka akan membantu melakukan demonstrasi setiap babak, membenarkan pelanggan mengulangi aksi mereka selain memberi tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman sendiri bagi menguatkan penghayatan dan emosi pelakon-pelakon amatur itu.
Sebuah substudio drama pendek di Hengdian World Studios mendedahkan, seorang ibu muda menempah 17 drama pendek yang menampilkan dirinya dalam penggambaran selama lebih enam bulan, malah menyamakan pengalaman itu dengan sesi kaunseling psikologi.
Pengarah, Wu Yizhuo memberitahu China Newsweek, jalan cerita paling popular dalam kalangan pelancong seringkali berkisar tentang karakter yang pada mulanya angkuh sebelum terkejut apabila mengetahui identiti sebenar watak utama.-UTUSAN










