Israel tertekan kekuatan tentera kian merosot

Israel tertekan kekuatan tentera kian merosot

PULUHAN kereta kebal tentera Israel ditempatkan di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel berdepan kekurangan askar dan kelengkapan ketenteraan yang kritikal selepas hampir tiga tahun berperang, sehingga mempertimbangkan langkah menggantung cuti anggotanya.

Menurut laporan akhbar Maariv, kekurangan askar yang semakin meruncing menyebabkan Israel bersedia mengehadkan hak bercuti bagi memastikan jumlah tentera yang bertugas mencukupi.

“Akibat kekurangan anggota yang kritikal, pihak tentera bersedia untuk melanggar hak asas dan menafikan cuti mereka,” lapor Maariv.

Maariv turut mendedahkan tentera Israel kini tidak mempunyai jumlah kereta kebal dan pengangkut anggota berperisai yang mencukupi.

Laporan itu berkata, tempoh perang yang berpanjangan menyebabkan keadaan kenderaan tentera semakin merosot, selain ratusan daripadanya mengalami kerosakan.

“Atas alasan politik, Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, boleh memotong peruntukan kepada tentera Israel dan sibuk melayan aduan, manakala pembangkang pula leka dengan pergolakan dalaman seperti kanak-kanak tidak matang,” kata akhbar itu.

Selasa lalu, Channel 12 Israel melaporkan negara itu terpaksa membatalkan rancangan pembelian 12 helikopter tempur Apache daripada Boeing, akibat kekurangan peruntukan dalam belanjawan perolehan.

Laporan itu muncul sehari selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal memujuk pemimpin pembangkang, Yair Lapid, untuk bekerjasama dalam usaha meningkatkan peruntukan perolehan ketenteraan dalam satu pertemuan rutin.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, tentera Israel melancarkan perang dan menjalankan operasi ketenteraan di beberapa lokasi di rantau itu, termasuk Gaza yang berlarutan sejak Oktober 2023.

Israel turut berperang dengan Lubnan dan Iran, selain meneruskan operasi ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki serta Syria.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×