PETALING JAYA: Hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) termasuk antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kini berada pada tahap paling rendah.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 baru-baru ini mencerminkan sentimen yang semakin meningkat dalam kalangan perwakilan bahawa kerjasama parti itu dengan PH sudah sampai ke penghujungnya.
“Pada dasarnya, mesej kita hanya bertahan dalam kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada bila-bila masa sahaja dan selepas itu apabila kita masuk pilihan raya umum, kita akan berlawan sesama sendiri.
“Itulah pada asasnya mesej daripada Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam episod terbaharu audio siar (podcast) ‘Keluar Sekejap’.
Menurut Khairy, beliau yang menghadiri perhimpunan itu melihat majoriti besar perwakilan berkongsi pandangan bahawa UMNO sudah ‘selesai’ dengan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sentimen berkenaan begitu kuat sehingga ada dalam kalangan perwakilan yang mahukan pilihan raya umum diadakan dengan segera.
“Banyak perkara masih belum diputuskan, tetapi apa yang jelas ialah kami sudah selesai dengan PH, kami sudah selesai dengan Anwar dan kami bersedia untuk bertanding dengan kerjasama mungkin bersama Perikatan Nasional (PN) dan Pas serta bersedia untuk mengambil alih kerajaan,” katanya. – UTUSAN











