PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan asas perundangan dan mekanisme pelaksanaan tahanan rumah termasuk syarat kelayakan serta proses tapisan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menimbulkan kekaburan dari segi undang-undang.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sehingga kini tiada peruntukan khusus atau akta nyata dalam sistem perundangan negara yang memperuntukkan hukuman berbentuk tahanan rumah bagi mana-mana pesalah.
Katanya, peruntukan sedia ada hanyalah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 berkaitan kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan atau premis sebagai penjara, namun peruntukan itu tidak pernah direka untuk memberi layanan istimewa secara terpilih.
“Kuasa memberi lesen pelepasan di bawah Seksyen 43 akta yang sama kepada mana-mana banduan sama ada oleh Menteri atau Komisioner Jeneral Penjara pula mestilah juga adil dan dilaksanakan dengan konsep keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Rafique berkata, isu tahanan rumah juga perlu difahami sebagai perkara yang berbeza daripada pengampunan mutlak.
Katanya, budi bicara dan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan harus dihormati semua pihak.
“Institusi Raja-Raja Melayu memegang kuasa prerogatif yang mutlak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan mengenai Lembaga Pengampunan.
“Kuasa ini adalah non-justiciable, tidak boleh dicabar, dipertikai atau diheret ke mana-mana mahkamah. Ini adalah paksi kedaulatan undang-undang kita yang mesti diterima semua pihak dengan berlapang dada,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Rafique berkata, kerajaan tidak boleh menghalang rasa musykil serta hak bersuara rakyat, sebaliknya rakyat berhak mendapat penjelasan apabila melihat wujudnya kelonggaran yang meragukan.
Sehubungan itu, katanya, Peguam Negara selaku penasihat undang-undang tertinggi Kerajaan bersama Menteri Dalam Negeri selaku peneraju keselamatan, wajib tampil menjelaskan perkara berkenaan secara telus.
“Jabatan Penjara berada di bawah kelolaan dan menurut arahan daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Seorang Menteri Dalam Negeri mempunyai kewajipan untuk tahu dan faham tentang peranan dan tugasnya bagi memastikan tiada batas undang-undang dilanggar mahupun memastikan tidak ada sebarang ketidakpastian dari segi undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, dalam keadaan wujud kekaburan mengenai isu tahanan rumah bersyarat ketika ini, Menteri Dalam Negeri hendaklah melaksanakan tindakan sewajarnya agar tidak timbul persoalan lain kelak.
“Apakah syarat-syarat ketat yang melayakkan seseorang mendapat tahanan rumah? Apakah syarat-syarat yang dikhususkan? Bagaimanakah proses tapisan dan mekanismenya dilakukan?”
“Rakyat tidak mahu melihat tahanan rumah bersyarat dikenakan atau digunakan semata-mata demi memuaskan hati kelompok elit politik tertentu.
“Kerisauan paling utama masyarakat ketika ini adalah keruntuhan moral undang-undang, sedangkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak sama rata, iaitu semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan serta layanan undang-undang yang sama rata,” katanya.
Menurut beliau, jika tahanan rumah dilaksanakan tanpa garis panduan yang telus, ia akan mewujudkan persepsi dwi-standard yang parah, iaitu undang-undang tegas untuk rakyat marhaen tetapi pengenaan undang-undang yang lunak dan selesa untuk golongan `kayangan.’
“Tugas Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri juga adalah untuk menerangkan bahawa sistem kehakiman negara tidak wajar dipersalahkan kerana tugas kehakiman telah selesai sebaik sahaja mahkamah, sama ada pada tahap perbicaraan mahupun rayuan, melupuskan mana-mana kes.
“Sistem kehakiman kita juga perlu dihormati. Keadilan bukan sahaja perlu dijalankan, tetapi ia mesti dilihat telah dijalankan,” katanya. – UTUSAN











