Polis mohon notis merah buru enam warga asing kes samun RM2.91 juta

Polis mohon notis merah buru enam warga asing kes samun RM2.91 juta

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan memohon notis merah melalui Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan enam lelaki warga asing dipercayai terlibat dalam kes samun RM2.91 juta di sebuah kondominium di Pavilion Embassy, Jalan Ampang, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 17 September lalu.

Katanya, kesemua suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam secara in absentia selepas tidak hadir ketika prosiding pertuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Susulan pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon waran tangkap terhadap kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan permohonan berkenaan.

“Pihak polis akan meneruskan proses permohonan Red Notice (Notis Merah) melalui pihak INTERPOL bagi mengesan dan memburu kesemua suspek yang terbabit bagi membolehkan mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedudukan atau pergerakan suspek supaya segera menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 2 hingga 3 petang pada 7 September lalu, sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau dipercayai menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy, Jalan Ampang.

Kumpulan itu melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah dengan anggaran kerugian RM2.91 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa lelaki warga China berusia 28 tahun.

Polis sebelum ini turut merakam keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×