KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zizi Kirana, mendedahkan dia masih berhubung dengan keluarga bekas suaminya, Yusuf Bahrin, walaupun mereka sudah tidak lagi bersama kira-kira 5 bulan lalu.
Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 41, berkata, dia tidak melihat sebarang alasan untuk memutuskan hubungan dengan keluarga berkenaan, malah bekas mentuanya sendiri sering mengharapkan ukhuwah mereka sentiasa berkekalan.
“Saya dengan bekas suami memang sudah tidak berhubung. Tapi dengan keluarga dia, dengan mak, dengan abah, dengan adik ipar saya, dengan makcik-makciknya, Alhamdulillah sampai sekarang masih berhubung.
“Mak, ayah dan adik ipar saya pun baik. Jadi saya rasa benda itu tak patut untuk saya putuskan, hubungan itu, silaturahim itu. Malah, bekas mak mentua saya sendiri selalu cakap semoga ukhuwah kita berkekalan ke jannah,” katanya.
Zizi berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media ‘Yang Tinggal’, di Herritage Club, Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Tambah Zizi, bekas ibu mentua dan adik iparnya pernah datang ke rumah membawa pelbagai makanan yang baginya cukup menenangkan hatinya dan membuktikan tiada ikatan yang perlu terputus.
“Baru-baru ini mereka datang ziarah saya ke rumah. Mak dia ziarah saya dengan adik ipar saya, bawakan asam pedas, kerepek dan kuih, MasyaAllah.
“Inilah orang kata bahagia yang walaupun nampak macam biasa tetapi ini menyenangkan saya. Saya tak perlu bermusuh kerana saya rasa saya ada mak dengan abah, orang yang sangat saya hormati,” katanya.
Zizi turut menyifatkan hubungannya dengan bekas bapa mentua sebagai sesuatu yang sangat bermakna kerana sebelum ini dia tidak pernah mempunyai hubungan yang rapat dengan bapanya sendiri.
“Saya sendiri, saya tak pernah ada hubungan yang rapat dengan bapa sendiri. Jadi bila saya dapat abah, saya rasa kami pergi umrah sama-sama pada 2025, itu adalah momen yang sangat berharga untuk saya simpan sampai bila-bila.
“Kami juga satu bilik ketika umrah. Jadi saya rasa walaupun Allah bagi kami berpisah, saya dengan Yusuf, tetapi Allah bagi saya kehadiran seorang ayah. Selama-lamanya tak akan terputus.
Sementara itu, Zizi mendedahkan dia langsung tidak berasa kekok atau terganggu sekiranya bertembung dengan bekas suaminya di mana-mana majlis kerana lingkungan rakan mereka yang sama.
“Tapi andailah tersemak dekat majlis, ada sahaja, sebab kawan-kawan dia adalah kawan-kawan saya juga. Kalau tersempat pun kawan-kawan akan tanya, ‘Zizi nanti dia ada, Zizi okey ke?’ Saya jawab, saya okey sahaja. Saya rasa ada sekali dua tersempak dalam satu tempat yang sama.
“Masa itu saya rasa dah tak ada apa-apa perasaan, rasa janggal pun tak ada. Orang Aquarius ini kalau dah putuskan hubungan, memang terus putus. Kalau tersempat pun, InsyaAllah maksudnya saya memang dah lupakan semuanya,” katanya.
Terdahulu, rumah tangga mereka didakwa goyah selepas Zizi dan Yusuf memuat naik foto menyambut Aidilfitri secara berasingan.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.
Namun, jodoh dan ketentuan di tangan Tuhan, ikatan perkahwinan pasangan tersebut akhirnya terlerai apabila mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam. -UTUSAN











