Ancaman Houthi sampai ke Riyadh, dua letupan kedengaran

Ancaman Houthi sampai ke Riyadh, dua letupan kedengaran

GAMBAR fail sebuah kapal tangki di Pelabuhan Ras al-Khair, Arab Saudi. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Dua letupan kedengaran di ibu negara Arab Saudi itu awal pagi Sabtu selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran serangan udara susulan ancaman berterusan kumpulan Houthi dari Yemen.

Wartawan AFP melaporkan, amaran berkenaan dikeluarkan kepada penduduk Riyadh kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan), dengan mereka diminta kekal berada di dalam rumah berikutan ancaman udara.

“Kawasan ini berdepan ancaman udara musuh,” menurut mesej yang diterima penduduk sebelum dua letupan kedengaran tidak lama kemudian.

Amaran itu ditarik balik kira-kira 30 minit selepas dikeluarkan oleh agensi pertahanan awam Arab Saudi.

Perkembangan itu merupakan kali pertama Riyadh terjejas secara langsung sejak konflik di Yemen, negara jiran Saudi, kembali memuncak pada Julai.

Houthi, yang disokong Iran, menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yemen sebelum melancarkan serangan pantas bulan ini bagi mengambil alih keseluruhan pantai Laut Merah negara itu.

Penguasaan berkenaan membolehkan kumpulan itu mengawal Selat Bab al-Mandab, laluan perkapalan strategik yang menjadi antara laluan penting bagi perdagangan dan eksport minyak.

Houthi turut mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi, yang sebelum ini menggunakan laluan berkenaan untuk mengelak Selat Hormuz selepas laluan itu ditutup susulan perang di Asia Barat.

Data firma penjejakan kapal, Kpler menunjukkan eksport minyak Arab Saudi melalui Bab al-Mandab merosot sejak Julai, walaupun lima kapal yang membawa muatan dilaporkan melalui selat itu minggu lalu.

Houthi bagaimanapun menegaskan laluan perkapalan di selat itu kekal terbuka dan bebas, kecuali bagi kapal milik Arab Saudi.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memaklumkan pertempuran terbaharu di Yemen menyebabkan lebih 112,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Hampir 3,000 lagi dilaporkan melarikan diri merentasi laut ke Djibouti, menambah tekanan terhadap penduduk Yemen yang sudah lama berdepan krisis kemanusiaan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×