PUTRAJAYA: Setelah hampir dua jam, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Perdana Putra di sini dipercayai selesai apabila beberapa kenderaan pelbagai guna (MPV) mula meninggalkan bangunan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebuah MPV berwarna putih dengan pengiring bermotosikal dilihat keluar dari bangunan itu kira-kira pukul 7.10 malam, namun tidak menghentikan kenderaan walaupun cuba didekati pengamal media.
Usaha pihak media untuk mendapatkan respon berhubung perkembangan mesyuarat berkenaan juga tidak berhasil.
Difahamkan mesyuarat yang berlangsung pada pukul 5.30 petang itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Pengerusi PH dijangka bermesyuarat dengan kepimpinan tertinggi gabungan itu termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipercayai turut menyertai mesyuarat berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan mesyuarat berkenaan, antara lain dijangka menyentuh mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan, susulan kenyataan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 minggu lalu.
Selain itu, antara perkembangan terkini yang berkemungkinan disentuh dalam mesyuarat berkenaan adalah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.- UTUSAN











