Ketahanan ATM: Benteng Pertahanan Negara

Ketahanan ATM: Benteng Pertahanan Negara

KETAHANAN ATM merupakan sebahagian daripada usaha membina cegah rintang yang kredibel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Di sebalik keamanan yang dinikmati rakyat, terdapat sebuah angkatan yang sentiasa bersedia memeliharanya.”

Keamanan dan kestabilan yang dinikmati hari ini bukanlah suatu keadaan yang berlaku tanpa asas. Di sebalik kehidupan masyarakat yang berjalan seperti biasa, terdapat sebuah sistem pertahanan yang perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan, berkeupayaan menghadapi perubahan dan bersedia bertindak apabila kepentingan negara memerlukannya.

Dalam konteks inilah tema Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-93 iaitu “Ketahanan ATM: Benteng Pertahanan Negara”, membawa makna yang lebih besar daripada sekadar ungkapan sambutan.

MOHAMED KHALED NORDIN

Pemilihan tarikh 16 September sebagai Hari ATM mempunyai makna sejarah yang tersendiri. Tarikh ini sejajar dengan pembentukan Malaysia pada tanggal 16 September 1963 yang menyaksikan kerajaan merombak pembentukan tiga cabang perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Persekutuan, yang kemudiannya tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera 1972. Kerajaan mempersetujui dan menetapkan Hari Angkatan Tentera Malaysia disambut pada hari dan tarikh yang sama setiap tahun bersempena penubuhan Malaysia.

Tarikh itu menjadi titik penting dalam perjalanan ATM yang terus berevolusi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks. Justeru, sambutan ini bukan sekadar memperingati usia, bahkan turut mengenang perjalanan dan legasi yang membentuk ATM hari ini.

Sepanjang perjalanan sejarahnya, ATM mengorak langkah seiring dengan perubahan keperluan pertahanan negara. Perubahan bentuk ancaman menuntut transformasi pada struktur organisasi, pola pemikiran angkatan, doktrin dan latihan bagi melaksanakan operasi.

Sebuah angkatan yang berjaya menghadapi cabaran masa lalu tidak boleh bergantung semata-mata kepada pendekatan yang sama untuk menghadapi cabaran masa hadapan.

MALEK RAZAK SULAIMAN

Keupayaan untuk belajar, menilai semula dan menyesuaikan organisasi merupakan sebahagian daripada kekuatan strategik sesebuah angkatan.

Dalam konteks pertahanan negara, ketahanan merujuk kepada keupayaan kekal teguh ketika berhadapan tekanan, menyesuaikan tindakan apabila persekitaran berubah serta terus melaksanakan amanah secara berkesan.

Ketahanan terbina daripada kepimpinan, kompetensi warga ATM, kesiapsiagaan, kesepaduan antara perkhidmatan, kebolehoperasian sistem, kecekapan logistik, ketahanan siber serta sokongan nasional.

Hakikatnya, landskap keselamatan semasa semakin kompleks dan dinamik. Spektrum ancaman tidak lagi terbatas kepada konflik bersenjata dalam bentuk konvensional.

Perkembangan teknologi, ancaman siber, perubahan geopolitik, ekstremisme, maklumat palsu dan bencana alam turut memberi implikasi terhadap keselamatan negara. Keadaan ini menuntut ATM bukan sahaja memerlukan keupayaan untuk bertindak, tetapi keupayaan menjangka, menyesuaikan diri, mencegah, mengekalkan kesinambungan operasi dan kemampuan untuk pulih daripada gangguan.

Dalam kerangka tersebut, ketahanan ATM merupakan sebahagian daripada usaha membina cegah rintang yang kredibel. Kejayaan pertahanan tidak semestinya diukur melalui keupayaan memenangi konflik setelah ia tercetus, malahan melalui keupayaan meyakinkan mana-mana pihak yang berhasrat mengancam negara, Malaysia mempunyai kemampuan dan kesediaan untuk mempertahankan kedaulatan serta kepentingannya. Kesiapsiagaan yang dibina secara komprehensif menjadi asas kepada keyakinan tersebut.

Ketahanan ini turut bergantung pada faktor kebersamaan tiga perkhidmatan ATM yang saling melengkapi. Tentera Darat mempertahankan keutuhan wilayah dan mengawal ruang daratan. Tentera Laut Diraja Malaysia memastikan kepentingan negara di samudera terus dilindungi, termasuk perairan yang menjadi laluan perdagangan, sumber ekonomi dan ruang kedaulatan. Tentera Udara Diraja Malaysia pula memberikan kelebihan dari segi masa, jarak dan kesedaran situasi melalui pengawasan, mobiliti serta keupayaan operasi udara.

Kekuatan kesemua perkhidmatan ini tidak wajar dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu disepadukan bagi menghasilkan impak keupayaan pertahanan yang bersifat menyeluruh.

Namun, di sebalik setiap keupayaan pertahanan, manusia kekal sebagai unsur penentu. Sebuah kapal memerlukan kru yang terlatih dan sistem penyelenggaraan yang berkesan. Sebuah pesawat memerlukan juruterbang, juruteknik dan rangkaian sokongan yang berfungsi dengan tepat. Sistem pertahanan pula memerlukan anggota yang mampu memahami maklumat, membuat keputusan dan bertindak dalam keadaan tekanan. Justeru, modal insan merupakan asas yang menentukan sesuatu keupayaan boleh berfungsi apabila negara memerlukan.

Hakikat ini menjadi semakin penting dalam gagasan Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang memperlihatkan transformasi ATM menuju 2030-2050 bukan sekadar proses memperoleh platform baharu atau mengaplikasikan teknologi terkini, malahan ia merupakan usaha membentuk angkatan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap peperangan dan persekitaran keselamatan.

Kerangka 3M iaitu Man, Machine dan Method pula memperlihatkan keperluan membangunkan manusia, memodenkan sistem serta menyesuaikan doktrin dan kaedah operasi secara seiring. Kecerdasan buatan, sistem tanpa pemandu, analitik data dan keupayaan siber hanya memberikan nilai strategik apabila disokong anggota dan sistem yang kompeten serta organisasi yang mampu mengintegrasikan teknologi tersebut ke dalam operasi.

Hala tuju ini turut diperkukuh melalui Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 yang meletakkan tiga nilai utama dalam akronim A.T.M., iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur. Ketiga-tiga nilai ini menghubungkan asas peribadi, kekuatan institusi dan keupayaan operasi. Akhlak Teras menuntut integriti dan disiplin sebagai asas kepimpinan. Tatakelola Tuntas memastikan ketelusan serta akauntabiliti dalam setiap keputusan dan pelaksanaan. Martabat Tempur pula menegaskan paras kesiapsiagaan, profesionalisme dan semangat juang dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Pendekatan tersebut mendukung Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026 hingga 2030 yang memberi hala tuju strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan, keupayaan serta daya tahan pertahanan negara. Usaha ini menunjukkan ketahanan pertahanan tidak lahir daripada satu aset atau satu inisiatif, sebaliknya dibina melalui sinergi 3M yang saling melengkapi.

Dalam konteks lebih luas, pertahanan negara juga merupakan tanggungjawab bersama. Konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH menempatkan ATM sebagai teras pertahanan yang disokong oleh kerajaan, agensi keselamatan, industri, institusi pendidikan, media dan masyarakat. Kefahaman rakyat terhadap kepentingan pertahanan bukan sekadar mengukuhkan hubungan antara angkatan dengan masyarakat, malah membantu membina keyakinan berasaskan pengetahuan dan pemahaman terhadap amanah yang dipikul oleh warga pertahanan.

Justeru, Sambutan Hari Ulang Tahun ATM Ke-93 sewajarnya menjadi instrumen untuk masyarakat melihat dan memahami hakikat tersebut. Di sebalik setiap aset dan keupayaan yang dizahirkan, terdapat sekumpulan manusia yang dilatih, sistem yang dibangunkan serta amanah yang dipikul secara berterusan.

Ketahanan ATM akhirnya bukan sekadar tentang kemampuan mendepani ancaman, malahan tentang keupayaan memastikan aspek kedaulatan dan kepentingan negara terus terpelihara meskipun dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

Benteng pertahanan yang teguh tidak terbina oleh faktor teknologi semata-mata. Ia terbina daripada individu berintegriti, organisasi berdisiplin, keupayaan yang kredibel yang dipelihara setiap masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×