Di sebalik kesibukan di lokasi penggambaran dan menguruskan produksi, siapa sangka pelakon dan penerbit, Amai Kamarudin mempunyai satu sisi seni lain yang mungkin belum begitu diketahui ramai.
Bukan sekadar menggayakan batik sebagai pakaian, Amai atau Muhammad Kamal Kamarudin itu sebenarnya sudah lapan tahun mengusahakan perniagaan berasaskan warisan tersebut menerusi jenama Udara Batik.
Menurut Amai, kecintaannya terhadap batik bermula sekitar 2018 ketika dia sering mengenakan pakaian berwarna-warni termasuk batik sewaktu menjalani penggambaran.
“Ramai yang fikir saya model baju batik, tetapi sebenarnya saya mencanting batik sendiri. Semuanya bermula ketika saya sudah berlakon dan memang selalu memakai batik atau pakaian berwarna-warni ketika penggambaran.
“Dari situ timbul idea untuk memulakan perniagaan batik. Ibu dan isteri saya juga memberikan sokongan. Jadi, saya bermula secara kecil-kecilan dan sekarang sudah lapan tahun menjalankan perniagaan ini.
“Selepas itu saya belajar menghasilkan batik buatan tangan termasuk batik lukis dan batik blok. Begitulah perjalanan saya sehingga sekarang,” katanya kepada Pancaindera.
Tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang tersebut bukan penghalang buat pelakon berusia 38 tahun itu untuk mendalami selok-belok pembuatan batik.
“Saya banyak belajar daripada kawan-kawan. Apabila ada acara batik, kami akan berkumpul dengan pembatik lain termasuk dari Kelantan, Terengganu dan Sabah. Ada kalanya sehingga 50 pembatik berkumpul dan mereka membuat demonstrasi. Dari situlah saya belajar. Selepas itu saya cuba sendiri di bengkel. Kalau tidak tahu atau tidak pandai, saya akan bertanya lagi. Begitulah cara saya belajar,” jelasnya.

Kesungguhannya mendalami seni tersebut turut membuahkan hasil apabila karya batik sentuhannya pernah dibawa ke Moscow, Rusia bagi sebuah pertunjukan fesyen di sana.
“Saya pernah terlibat dengan sebuah projek di mana hasil cantingan saya dibawa ke Moscow, Rusia. Saya menghasilkan lukisan batik pada pakaian seorang pereka fesyen di sana dan pakaian tersebut kemudiannya diperagakan dalam sebuah pertunjukan fesyen,” katanya lagi.
Tambah Amai, mencanting batik bukan semata-mata sebahagian daripada urusan perniagaan, malah aktiviti tersebut menjadi ruang untuk dirinya mencari ketenangan.
“Bagi saya, mencanting memang satu terapi. Apabila mencanting, jiwa kita menjadi tenang dan relaks. Ketika itu kita buat sahaja tanpa memikirkan masalah lain.
“Selepas mencanting, kita akan mewarnakan batik. Proses mewarna itu lebih memberikan terapi kepada saya. Apabila warna yang kita hasilkan cantik dan hasil akhirnya juga cantik, kita rasa gembira melihatnya,” kongsinya.
Bercerita mengenai proses penghasilan, Amai berkata, sehelai kain batik yang dicanting sepenuhnya boleh mengambil masa antara tiga hingga lima hari.

Sementara itu, penerbit filem Misteri Fraser 1910 tersebut turut memberi pandangan mengenai perbezaan batik Malaysia dan Indonesia yang sering menjadi pertikaian dalam kalangan masyarakat dari kedua-dua negara.
“Bagi saya, tidak perlu bergaduh kerana batik adalah warisan negara masing-masing. Setiap tempat mempunyai batik dan cara penghasilannya tersendiri walaupun ada teknik yang hampir sama.
“Contohnya, batik Malaysia menggunakan canting. Di Indonesia, mereka juga menggunakan canting tetapi ada sedikit perbezaan. Kalau di sana mereka menghasilkan batik blok menggunakan kertas, kita di sini menggunakan tembaga untuk tekap pada kain.
“Saya sendiri melihat bagaimana proses batik di Indonesia dan Malaysia dilakukan serta peralatan yang digunakan. Kita belajar daripada mereka. Jadi, kita tidak perlu bermusuh. Mereka ada kebolehan mereka dan kita juga ada kebolehan kita,” tambahnya.
Bagi Amai, memastikan warisan itu terus dihargai tidak semestinya bermula dengan menjadi seorang pembatik, sebaliknya sokongan masyarakat terhadap hasil seni tempatan juga sudah cukup bermakna.
“Tidak kisahlah seseorang itu peminat batik atau tidak, kita perlu saling menyokong. Tidak kira batik itu datang dari negeri mana, kita sokong warisan mereka. Kalau tidak membeli pun tidak mengapa. Yang penting, jangan kita menimbulkan isu atau pertelingkahan mengenai perkara ini,” ujarnya.











