PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus remaja kini semakin terbuka mendapatkan bantuan apabila berdepan masalah emosi berbanding budaya terdahulu yang menyaksikan golongan itu lebih cenderung memendam masalah kerana bimbang dipandang serong.
Pengerusi Kasih Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkembangan itu berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang menunjukkan perubahan sikap golongan remaja dalam mendapatkan bantuan berkaitan masalah.
“Berdasarkan NHMS, 70 peratus remaja sekarang ini lebih terbuka mencari bantuan apabila ada masalah emosi.
“Dahulu kalau cakap mungkin dianggap gila dan kita tidak boleh bercakap mengenai masalah peribadi kerana mahu menjaga maruah serta memikirkan apa yang orang kata,” katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan dan Talian Belia SEHAT, di sini, hari ini.
Wan Azizah berkata, pelaksanaan Talian Belia SEHAT merupakan penambahbaikan penting bagi memastikan lebih ramai golongan sasaran mendapat akses kepada bantuan psikososial.
Katanya, masyarakat juga perlu mengetahui kewujudan pelbagai saluran bantuan termasuk Talian Kasih, Talian HEAL, Befrienders dan persatuan berkaitan kesihatan mental supaya bantuan dapat diperoleh lebih awal.
Sementara itu, Jamaliah berkata, sebanyak 234 panggilan direkodkan menerusi Talian Belia SEHAT dari Januari hingga Ogos lalu menunjukkan saluran khusus berkenaan mula dimanfaatkan golongan muda.
Jelasnya, bagi tempoh 27 Julai hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 43 janji temu direkodkan menerusi Perkhidmatan Panggilan Semula Talian SEHAT.
“Daripada jumlah itu, 11 janji temu membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun.
“Manakala, 35 peratus daripada keseluruhan janji temu berkaitan isu gangguan mental dan emosi termasuk tekanan, kebimbangan, kemurungan serta trauma,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kerajaan Selangor melancarkan Kempen Sifar Buli Negeri Selangor bersama dua inisiatif baharu di bawah Program Selangor Mental Sihat (SEHAT), iaitu Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT.
Hab Rakan Sokongan SEHAT menyediakan sesi bimbingan secara percuma bersama Rakan Sokongan daripada SAPOT, iaitu individu yang pernah melalui cabaran kesihatan mental dan dilatih untuk mendengar, menemani serta menghubungkan individu kepada perkhidmatan kaunseling, psikologi dan psikiatri apabila diperlukan. – UTUSAN











