JAKARTA: Indonesia menerima kapal pengangkut pesawat pertamanya pada Jumaat, ketika negara itu mempergiat usaha memodenkan aset ketenteraan yang semakin usang.
Kapal sepanjang 180 meter itu, yang sebelum ini digunakan Tentera Laut Itali selama 41 tahun, berlabuh di sebuah pelabuhan di Jakarta selepas belayar dari Itali melalui Colombo dan Selat Melaka.
Ketua Staf Tentera Laut Indonesia, Muhammad Ali, berkata kapal milik Itali, Giuseppe Garibaldi, itu akan dinamakan semula sebagai KRI Sriwijaya minggu depan.
Namun, kapal berkenaan tidak akan hanya digunakan untuk operasi ketenteraan, sebaliknya turut memainkan peranan dalam misi bantuan bencana.
“Banyak bencana berlaku di negara ini. Jadi, kita amat memerlukan kapal atau platform yang mampu membawa banyak helikopter kerana helikopter boleh menghantar bantuan logistik dengan cepat ke kawasan terpencil,” katanya.
Ali berkata, keadaan kapal berkenaan masih baik dan dijangka dapat digunakan Tentera Laut Indonesia untuk tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.
Kapal itu mampu membawa sehingga 18 helikopter selain menempatkan kira-kira 830 anggota, kata jurucakap Tentera Laut Indonesia, Tunggul.
Giuseppe Garibaldi mula ditauliahkan dalam perkhidmatan Tentera Laut Itali pada 1985.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, giat memperkemas aset ketenteraan negara yang semakin berusia serta memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara lain.
Pada 2022, Jakarta menandatangani perjanjian bernilai AS$8.1 bilion (RM34 bilion) ketika Prabowo masih Menteri Pertahanan untuk membeli 42 jet pejuang Rafale buatan Perancis. Sehingga Mei lalu, enam jet sudah diserahkan.
India pada Julai mengesahkan akan membekalkan Indonesia peluru berpandu jarak jauh, ketika Prabowo menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, di Jakarta.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pada April mengumumkan Washington dan Jakarta meningkatkan kerjasama pertahanan mereka kepada “Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama”.
Indonesia turut menandatangani perjanjian keselamatan dengan Australia pada Februari, membuka laluan kepada kerjasama ketenteraan lebih rapat termasuk sokongan Canberra dalam pembangunan kemudahan latihan untuk latihan bersama.- AFP











