PRN Melaka: Keputusan tahanan rumah Najib beri nilai tambah kepada landskap politik - Ahmad Zahid

PRN Melaka: Keputusan tahanan rumah Najib beri nilai tambah kepada landskap politik – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Kali Ke-5 di Jakarta, Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Keputusan Lembaga Pengampunan membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah diharap memberi nilai tambah kepada landskap politik negara terutama menjelang Plihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan berkenaan diharap menjadi faktor positif dalam landskap politik negara, selain memberi makna kepada perjuangan dan sokongan ahli UMNO terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Saya harap begitu menjadi faktor ‘value add’ kepada geopolitik yang sedang berada di persadar halaman politik. Ataupun landskap politik di negara kita insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 dekat sini, hari ini.

Keputusan berkenaan dibuat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata UMNO sedang membuat persiapan bagi menghadapi PRN Melaka, termasuk memberi mandat kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana gabungan parti politik.

“Saya menyerahkan mandat kepada Datuk Seri Ab Rauf mengadakan perbincangan dengan mana-mana gabungan parti politik bagi menghadapi pilihan raya negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata keputusan rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terletak pada Yang di-Pertua Negeri Melaka, manakala Speaker DUN akan memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubaran berkenaan.

“Dan kita serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan tarikh mereka mengadakan mesyuarat dan juga menetapkan tarikh untuk penambahan calon, pengundi awal dan juga hari pengundian,” katanya.

Mengenai kemungkinan muka baharu diketengahkan sebagai calon, Ahmad Zahid berkata belum ada perbincangan berhubung perkara itu, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berprestasi baik seboleh-bolehnya akan dikekalkan selain muka baharu turut diberi peluang.

“Pergerakan Wanita dan Puteri menuntut agar mereka juga diberi peluang dan selama ini pun memang kita ada ADUN-ADUN wanita di Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata nama calon akan dikemukakan oleh BN Melaka yang diketuai Ab Rauf sebelum beliau menelitinya berdasarkan laporan daripada pelbagai pihak.

“Saya fikir nama-nama calon-calon itu akan dikemukakan oleh Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Rauf dan saya akan teliti calon-calon itu berdasarkan pada laporan-laporan yang akan saya terima daripada pelbagai pihak untuk menentukan kebolehmenangan.

“Kita mempunyai prinsip WALI, winnable, acceptable and likeable candidate, supaya kebolehmenangan itu memihak kepada gelombang biru yang sedang melanda di seluruh negara yang bermula di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

BN sebelum ini memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka 2021, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×