Kawalan keselamatan di Wisma Negeri, Seremban diperketat?

Kawalan keselamatan di Wisma Negeri, Seremban diperketat?

SITUASI di Wisma Negeri, Seremban ketika tinjauan Utusan Malaysia hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawalan keselamatan di Wisma Negeri di sini yang menempatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini difahamkan diperketat apabila semua individu yang ingin memasuki premis berkenaan perlu melalui pemeriksaan dan pengesahan petugas keselamatan.

Difahamkan pelawat perlu memaklumkan tujuan kehadiran serta nama individu yang ingin ditemui kepada petugas keselamatan sebelum dibenarkan memasuki premis berkenaan.

Bagi pelawat yang ingin menemui anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), nama Exco berkenaan perlu diberikan untuk tujuan pengesahan menerusi panggilan telefon.

Situasi sama turut melibatkan petugas media apabila mereka diminta memaklumkan nama individu yang ingin ditemui meskipun telah menunjukkan pas media kepada petugas keselamatan.

Petugas keselamatan memaklumkan petugas media kebiasaannya hanya dibenarkan memasuki premis ketika berlangsungnya sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada prosedur berkenaan merupakan arahan baharu atau sebahagian daripada langkah kawalan keselamatan yang sedang dilaksanakan di Pejabat SUK.

Semalam Pejabat SUK Negeri Sembilan menerusi kenyataan memaklumkan tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang meminta Pejabat SUK Negeri Sembilan meneruskan proses pewartaan proklamasi berkenaan mengikut peraturan sedia ada.

Perkara itu juga diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan dalam mesyuarat pada 15 September lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×