BATU PAHAT: Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) akan memanggil kontraktor dilantik bagi menguruskan haiwan terbiar serta kumpulan hak asasi haiwan untuk mendengar penjelasan kedua-dua pihak berhubung insiden membabitkan Isyarat lucah terhadap penduduk tempatan.
MPBP dalam kenyataan hari ini memberitahu, pihaknya akan mendapatkan penjelasan penuh daripada kedua-dua pihak bagi memastikan keadilan dipelihara berikutan tular satu rakaman video di media sosial mendakwa pekerja menganiaya anjing terbiar serta berkelakuan kasar terhadap penduduk yang menegur mereka.
“Pihak kami memandang serius perkara ini dan akan mengarahkan kontraktor terbabit mengambil tindakan tegas terhadap pekerja yang terlibat sekiranya terbukti berlaku salah guna kuasa atau salah laku.
“MPBP juga akan memastikan penambahbaikan serta pemantauan rapi dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, setiap operasi pengurusan haiwan terbiar wajib dijalankan secara profesional dan bertanggungjawab.
“Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar tidak mengganggu atau memprovokasi operasi rasmi yang dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan. Semua pihak diminta mengekalkan sikap menghormati dan bekerjasama dalam menangani isu pengurusan haiwan terbiar.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan dakwaan kontraktor terbabit menganiaya anjing terbiar, sebelum perakam yang menegur perkara itu diberikan isyarat tangan yang tidak sopan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon menegaskan kelakuan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya telah hubungi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor serta Yang Dipertua MPBP dengan kadar segera bagi menyampaikan pandangan, memahami situasi sebenar dan menyelaraskan tindakan susulan.” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng.-UTUSAN










