SAYA tiba di Behave Ampang menghampiri pukul 8 malam, disapa seorang gadis perwatakkan ceria, berselendang topi hitam dengan baju hijau potongan yang sengaja dibuat lebar. Gadis itu Afifah Gentayangan, kami berpelukan sambil dia mengucapkan terima kasih kerana hadir ke acara seni Cerita Kita oleh Jenin Bercerita.
Dia ketawa, kami bergurau tak ingat tentang apa. Lampu kemudian malap, Afifah, gadis asal Ipoh itu mara ke hadapan bersama bandnya bernama Ingkar, membuka persembahan.
Afifah, gadis kecil molek dengan perangai manja yang saya temui lima minit lalu, hilang.
Di atas pentas bersama Ingkar, personalitinya bertukar, dengan iringan muzik post-rock, eksperimental noise dan skramz, Afifah menjerit patah kata dari lagu Ghasa. Saya dan semua yang ada terpaku. Ingkar kemudian membawakan Munajat berselang seli puisi hubungan antara hamba dan Tuhan sesuai nama band mereka.
Mengimbau perjalanan deria muziknya, Afifah, 23, berkata, lagu-lagu bersifat puitis memang sudah melekat dengannya sejak kecil seperti lagu Altimet.
“Sampai sekarang lirik yang saya conteng itu ada di almari buku tapi sudah bertukar tempat letak perkakas dapur. Kemudian pengetahuan saya tentang muzik independen itu semakin meluas kerana Fynn Jamal sebab kakak saya pernah nyanyikan lagunya, 150 Juta.
“Tapi apabila lagu itu dinyanyikan semula oleh Ainan Tasneem, ia bukan lagi sama macam yang pernah saya dengar sebelum ini. Di situlah pencarian saya tentang Fynn Jamal bermula dan cuba tiru cara dia menulis,” katanya.
Tidak berhenti di situ, Afifah menghadiri gig pertamanya sendirian pada usia 17 tahun untuk membuka diri kepada selera muzik berbeza.
“Saya rajin pergi gig walaupun band itu tidak dikenali. Saya mula terdedah kepada muzik punk, hardcore, metal tapi kebanyakan dari Indonesia macam LIPS bawa satira politik dan agama di mana frontman pun perempuan.
“Saya suka genre punk kerana lirik mereka unik, hanya satu perkataan yang solid sudah cukup. Semakin dewasa, saya suka menulis lirik sedap dengan gaya paling mudah tapi beri impak,” katanya.
Menjadi penyanyi skramz dalam Ingkar, Afifah berkata, perasaan keliru, celaru yang serba mentah dapat dipersembahkan dalam segala ketidaksempurnaannya.
“Konsep skramz menarik sebab ia swakarya, boleh berada di luar nada tidak perlu sempurna macam metal. Saya sengaja ‘terpeleotkan’ dalam banyak bahagian. Lagu-lagu Ingkar banyak berkaitan pendosa.
“Kita mengaku menjadi pendosa penuh dengan rasa rendah hati dan manusiawi,” katanya.
INGKAR BERMULA
Bermula sekadar kenalan di media sosial, Afifah dan Harith dipertemukan secara tidak sengaja di sebuah acara buku yang menjadi titik awal kepada penubuhan kumpulan muzik, Ingkar. Afifah semakin rapat dengan Harith apabila banyak berbual tentang pemuzik Jason Ranti.
“Bila masuk orientasi di ASWARA, kami satu batch. Kami jadi lebih rapat sebab saya tidak ada kawan saya yang mahu masuk universiti itu. Harith kemudiankan kenalkan saya dengan rakannya iaitu Ed.
“Ed rupanya pernah dengar saya ‘scream’ dan pelawa untuk sertainya. Harith menyumbang muzik latar dan saya bersedia sumbang vokal untuk lagu ciptaan Harith. Begitulah, saya rasa ia ‘sister banter’ yang menarik,” katanya.
Persembahan pertama Ingkar berlangsung di Pasar Kertas, Nilai. Menurut Affiah, konsep awal Ingkar sebenarnya jauh lebih ringkas dan eksperimental iaitu sebuah projek muzik ambient dan puisi yang diselitkan elemen jeritan atau scream untuk bahagian tertentu sebelum berkembang sebagai band lengkap pada 2024.
Kini, selain Afifah, Ingkar dianggotai Muhammad (gitar), Aniq (bass), Pijinad (vokal kedua), Heriju (drum) dan Mugi (gitar kedua).
“Kami ada dua lagu setakat ini, Munajat bagaimana pendosa berdamai dengan rasa jijik, rasa ingin bunuh diri dan Ghasab iaitu rampasan yang kita luaskan maknanya tentang hak orang Palestin yang diambil secara terang-terangan.
“Sekarang kami tengah kumpul duit untuk rakam beberapa lagi, show terdekat kami Petai Belalang pada 7 November nanti,” katanya.











