BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki dipercayai bertindak menikam adik iparnya sebanyak tiga kali ketika mangsa sedang tidur di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku, di sini, awal pagi semalam.
Suspek yang berusia 17 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai barangan terpakai itu juga dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 pagi itu.
Difahamkan, mangsa yang berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian belakang badan dan paru-paru akibat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memberitahu, suspek ditahan tengah hari semalam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.
“Ketika ini mangsa masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini, dengan perintah reman dikeluarkan Majistret, Mustaqim Sukarno.
Difahamkan, mangsa dan isterinya yang merupakan adik suspek berusia 14 tahun terbabit dalam pertengkaran kira-kira pukul 5 petang sehari sebelum kejadian.
Pertengkaran itu turut disaksikan suspek, namun dia dikatakan tidak masuk campur dan hanya berdiam diri sebelum bertindak keluar rumah dan pulang pada waktu malam tanpa disedari ahli keluarga lain.
Sebaik tiba di rumah, suspek dikatakan menendang mangsa yang sedang tidur dan terus menikamnya sebanyak tiga kali menggunakan pisau sepanjang kira-kira 14.5 sentimeter.-UTUSAN










