Hujan tidak halang pengamal media tunggu di depan rumah Najib - Utusan Malaysia

Hujan tidak halang pengamal media tunggu di depan rumah Najib

kira-kira 30 pengamal media tetap tidak berganjak dari hadapan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, di sini walaupun hujan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun hujan, kira-kira 30 pengamal media tetap tidak berganjak dari hadapan kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, di sini, susulan pengampunan bersyarat dengan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati pengamal media tempatan dan antarabangsa masih berkumpul walaupun hujan turut lebat selain dua kereta polis peronda turut kelihatan.

Sehingga pukul 1 petang ini, tiada sebarang pergerakan keluar masuk dikesan di kediaman berkenaan selain kehadiran anggota polis yang berada di hadapan rumah tersebut.

Terdahulu, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.

Menurut kenyataan itu, pengampunan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda sebanyak RM50 juta.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal.

“Beliau hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×