Representasi ditolak, Zamri Vinoth dibicara tahun depan

Representasi ditolak, Zamri Vinoth dibicara tahun depan

ZAMRI Vinoth ketika hadir bagi keputusan representasi terhadap dakwaan mengeluarkan kenyataan pada penganjuran perhimpunan GARAH di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan dua hari bagi perbicaraan kes terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth berkait penganjuran Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH).

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan oleh Majistret Faezahnoor Hassan pada sebutan kes itu hari ini adalah pada 21 dan 22 April 2027.

Pada 17 Mac lalu, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, yang juga penyelaras himpunan itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat kenyataan dalam akaun Facebook miliknya ‘Zamri Vinoth’ dan kenyataan itu mungkin menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kenyatan itu kemudian telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada pukul 12.22 tengah hari, 3 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Mohamad Poad memaklumkan bahawa representasi yang dikemukakan oleh Zamri adalah ditolak.

“Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi dan representasi itu ditolak,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam bela, Nur Shafiqah Shafiyah Omar mewakili Zamri memohon agar mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.

Dalam pada itu, Nur Shafiqah ketika ditemui selepas prosiding berkata, representasi tersebut difailkan bagi memohon pihak pendakwaan mengkaji semula pertuduhan.

“Representasi itu kami masukkan untuk meminta pihak pendakwaan mengkaji semula kes kalau ada kebarangkalian untuk penurunan cas atau sebagainya. Jadi, apabila ditolak, pihak kami akan tetap teruskan dengan perbicaraan,” katanya.

Sementara itu, Zamri meluahkan rasa syukur dan melihat keputusan penolakan itu dari sudut positif.

Katanya, perbicaraan di mahkamah itu akan memberi peluang untuk memberi penjelasan secara terbuka berhubung isu perhimpunan GARAH.

“Apabila representasi ditolak, ini bermakna saya ada peluang untuk menjelaskan tentang perhimpunan GARAH supaya rakyat dan masyarakat faham apa perjuangan yang sedang kita bawa.

“Walau apa pun keputusan, kita akan tetap berdiri bersama kedaulatan undang-undang dan berharap keadilan dapat ditegakkan untuk semua pihak,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×