Indonesia tegakkan kapal cari 129 lagi mangsa hilang

Indonesia tegakkan kapal cari 129 lagi mangsa hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia memulakan operasi menegakkan semula kapal penumpang yang terbalik di Laut Jawa, dalam usaha memudahkan operasi mencari 129 mangsa masih hilang.

Operasi itu dijalankan selepas pasukan penyelamat berdepan kesukaran mengesan mangsa susulan arus deras dan ombak besar yang melanda kawasan kejadian.

Kapal Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, terbalik ketika cuaca buruk pada awal 13 September lalu.

Pelayaran itu sepatutnya mengambil masa kira-kira 20 jam.

Sehingga hari kelima operasi mencari, pasukan penyelamat masih gagal menemui mangsa lain yang terselamat atau mayat, menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk mengapungkan semula kapal berkenaan.

Kapal itu pada mulanya hanya sebahagian daripada badannya berada di bawah permukaan air selama beberapa hari sebelum akhirnya tenggelam sepenuhnya ke dasar laut pada 17 September.

Pihak berkuasa berkata, operasi mencari melalui udara dan permukaan laut masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang hilang.

Setakat ini, enam orang disahkan maut manakala 108 lagi berjaya diselamatkan. Jumlah berkenaan tidak berubah sejak kejadian berlaku pada 13 September lalu.

“Operasi menyelamatkan kapal sudah dimulakan. Tinjauan dilakukan semalam dan hari ini pasukan dijangka bergerak ke lokasi kapal,” Komander Tentera Laut Banjarmasin, Galih Nurna Putra.

Menurut Galih, kapal itu akan ditarik ke kawasan dasar laut yang lebih cetek sebelum diusahakan untuk dipusingkan semula ke kedudukan asal.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata operasi itu akan diketuai pemilik kapal seperti yang diwajibkan undang-undang Indonesia, dengan bantuan agensi penyelamat, tentera laut dan polis maritim.

Katanya, operasi mencari dan mengeluarkan mangsa akan dimulakan sebaik sahaja kapal berkenaan berjaya ditegakkan semula.

“Selagi kapal masih berada di dasar laut, pasukan penyelam hanya berani berada di bahagian luar kapal,” katanya.

Pada 18 September, pihak berkuasa Indonesia turut mengerahkan lapan kapal dan dua helikopter bagi meneruskan operasi mencari melalui udara dan permukaan laut.

Putu berkata, operasi berkenaan masih berdepan kesukaran akibat angin kencang, arus deras dan ombak besar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×