JOHOR BAHRU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) telah menamatkan operasi secara rasmi pada 31 Ogos lalu setelah hampir dua dekad menjadi lokasi utama penganjuran acara rasmi, perniagaan dan konvensyen di negeri ini.
Persada Johor dalam kenyataan memberitahu, sebagai alternatif, Johor Corporation (JCorp) bakal membangunkan sebuah pusat Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) baharu di Larkinton.
Menurut kenyataan tersebut, MICE dijadual siap menjelang tahun 2029.
“Kompleks baharu itu bakal menjadi sebahagian daripada pembangunan bersepadu merangkumi kemudahan konvensyen dan pameran, hotel, peruncitan serta komponen perniagaan.
“Pembangunan projek baharu ini dijangka memperkukuh keupayaan Johor sebagai destinasi acara perniagaan di peringkat domestik, serantau dan antarabangsa, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan, perniagaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat Johor,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, keputusan menamatkan operasi Persada Johor dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keperluan operasi, perkembangan industri acara perniagaan serta nilai strategik lokasinya yang berada dalam kawasan pembangunan Ibrahim International Business District (IIBD).
“Tapak berkenaan akan kekal sebagai sebahagian daripada komponen strategik dalam pembangunan berterusan IIBD pada masa akan datang. Penamatan operasi ini bukan pengakhiran aspirasi Johor dalam industri MICE, sebaliknya proses transformasi bagi memastikan infrastruktur negeri terus berkembang seiring keperluan masa depan.
“Sepanjang tempoh peralihan, Johor Bahru kekal mempunyai ekosistem MICE yang disokong rangkaian pusat konvensyen, ruang pameran, hotel dan ruang acara sedia ada bagi memastikan penganjuran acara perniagaan, persidangan serta pameran terus berjalan lancar.
“Johor kini berada dalam fasa pertumbuhan baharu dipacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rapid Transit System Link (RTS Link) serta transformasi Johor Bahru menerusi IIBD yang akan merancakkan pelaburan, perniagaan dan hubungan ekonomi serantau,” katanya.
Antara program yang pernah dianjurkan di Persada Johor termasuklah Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor (JETP); Asia-Pacific Climate Week 2023; Konsert “A Night To Remember” oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza; Keretapi Sarong 2024; Karnival Kerjaya dan Pelancaran Majlis Pembangunan Bakat Johor serta Konvensyen Pakatan Harapan 2026.-UTUSAN










