SISTEM percukaian merupakan tunjang utama kerajaan dalam membiayai perbelanjaan negara. Di Malaysia, rakyat bukan sahaja menanggung cukai pendapatan, malah berdepan pelbagai cukai serta bayaran wajib lain sepanjang tahun.
Daripada cukai tanah, cukai taksiran, cukai jalan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), hinggalah insurans kenderaan, bil elektrik, bil air serta bayaran tol, senarai komitmen kewangan yang perlu ditanggung rakyat semakin panjang. Apabila semuanya dikumpulkan, ia menggambarkan tekanan kewangan yang dihadapi individu dan isi rumah.
Cukai pendapatan kekal sebagai cukai langsung utama yang dikenakan ke atas individu bekerja. Kutipan dibuat melalui Potongan Cukai Bulanan (PCB) sebelum diselaraskan menerusi Borang BE setiap tahun.
Prinsip progresif diguna pakai, iaitu semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi kadar cukai. Namun, kebanyakan pekerja masih berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana yang turut terkesan apabila cukai pendapatan digabungkan dengan pelbagai bayaran lain.
Pemilikan harta juga hadir bersama tanggungjawab percukaian. Cukai tanah perlu dijelaskan kepada Pejabat Tanah setiap tahun, manakala cukai taksiran dibayar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dua kali setahun. Walaupun jumlahnya mungkin tidak besar, kedua-duanya merupakan bayaran tetap yang perlu dijelaskan tanpa mengira keadaan kewangan pemilik.
Bagi pemilik rumah di kawasan bandar, jumlah terkumpul setahun boleh menjadi beban tambahan yang ketara, khususnya apabila digabungkan dengan komitmen kewangan lain.
Cukai tidak langsung pula dirasai melalui perbelanjaan harian. SST yang dikenakan terhadap makanan, telekomunikasi dan pelbagai perkhidmatan mungkin kelihatan kecil pada setiap transaksi tetapi apabila dikumpulkan sepanjang bulan, jumlahnya memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah.
Begitu juga cukai jalan dan bayaran tol yang perlu ditanggung pengguna kenderaan. Kesan ini lebih dirasai golongan berpendapatan rendah kerana sebahagian besar pendapatan mereka diperuntukkan untuk keperluan asas.
Selain cukai rasmi, rakyat turut menanggung pelbagai bayaran wajib yang menjadi komitmen tetap. Insurans kenderaan perlu diperbaharui sebelum cukai jalan dapat dihidupkan, manakala bil elektrik, air dan pembentungan perlu dijelaskan setiap bulan.
Walaupun bayaran utiliti merupakan kos mendapatkan perkhidmatan, ia tetap menjadi perbelanjaan yang sukar dielakkan. Kegagalan menjelaskannya pula boleh menyebabkan bekalan dipotong dan menjejaskan kehidupan seisi keluarga.
Apabila semua komitmen ini digabungkan, pendapatan boleh guna individu turut terjejas. Gaji yang diterima setiap bulan semakin mengecil selepas mengambil kira PCB, bil serta pelbagai bayaran lain. Kuasa beli berkurang dan ada isi rumah terpaksa membuat pilihan antara menyimpan untuk masa depan dengan memenuhi keperluan semasa.
Dari sudut prinsip percukaian, aspek keadilan dan kecekapan perlu diberi perhatian. Cukai progresif dilihat lebih adil kerana golongan berpendapatan tinggi membayar pada kadar lebih tinggi. Sebaliknya, cukai tidak langsung dan bayaran utiliti yang dikenakan secara lebih menyeluruh boleh memberi tekanan relatif lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah.
Namun, peranan hasil cukai dalam pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Kutipan tersebut digunakan untuk membiayai pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan subsidi. Tanpa hasil berkenaan, kerajaan akan berdepan kesukaran menyediakan perkhidmatan asas secara percuma atau pada kadar bersubsidi.
Justeru, cukai bukan sekadar beban, sebaliknya tanggungjawab bersama dalam membangunkan negara. Cabaran utama adalah memastikan sistem itu terus adil, cekap dan tidak menekan kumpulan yang paling terkesan.
Dalam masa sama, kesedaran rakyat mengenai perancangan kewangan serta pelepasan cukai perlu dipertingkatkan. Masih ramai yang tidak memanfaatkan pelepasan berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, perubatan dan pendidikan anak.
Kerajaan juga perlu mempermudah sistem percukaian serta memanfaatkan teknologi digital bagi memudahkan urusan pembayaran dan tuntutan. Rebat serta diskaun bersasar boleh dipertimbangkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat tanpa menjejaskan hasil negara.
Sehubungan itu, penurunan secara sekali beri dalam Belanjawan Negara 2027 boleh dipertimbangkan sebagai langkah meringankan tekanan rakyat. –UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya











