PRU16: Anwar pamer politik matang, bijak tidak layan desakan UMNO - Peguam - Utusan Malaysia

PRU16: Anwar pamer politik matang, bijak tidak layan desakan UMNO – Peguam

ANWAR Ibrahim menyantuni kakitangan kerajaan pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menghiraukan gesaan Perhimpunan Agung UMNO bagi memohon pembubaran Dewan Rakyat adalah satu tindakan yang bijak dan matang.

Peguambela dan Peguamcara, Dr. Zulqarnain Lukman berkata, penggal Dewan Rakyat masih lagi mempunyai masa setahun lebih sebelum terbubar secara automatik pada bulan November 2027.

Ini bermakna, katanya, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh berlangsung selewat-lewatnya Februari 2028.

“Dalam tempoh berbaki ini adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyempurnakan agenda reformasi institusi yang masih belum dilaksanakan seperti penggubalan akta mengehadkan tempoh dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

“Selain itu, adalah mustahak juga bagi Anwar membetulkan tatakelola di agensi berkaitan kerajaan seperti Tabung Haji dan Felda dan mengembalikan institusi ini ke landasan yang betul,” katanya hari ini.

ZULQARNAIN LUKMAN

Dalam pada itu, Zulqarnain berkata, besar kemungkinan untuk tujuan imembetulkan tatakelola, pindaan kepada Akta Tabung Haji dan Felda juga perlu dibuat.

Begitu juga dengan institusi lain yang berkaitan dengan bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan universiti awam khususnya UiTM juga perlu direformasi untuk memastikan tujuan sebenar penubuhan institusi ini tercapai.

“Jika Dewan Rakyat dibubarkan sekarang dikhuatiri mana mana Perdana Menteri lain tidak mempunyai keberanian seperti Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi tersebut.

“Tambahan lagi, BN-UMNO tidak mampu untuk menekan Perdana Menteri bagi pembubaran awal sekiranya parti gabungan Sabah dan Sarawak berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, BN-UMNO sekarang ini kelihatan sudah cukup yakin dan bongkak mendabik dada untuk memenangi PRU16 tanpa PH setelah mereka memenangi PRU Johor dan Negeri Sembilan.

Meskipun begitu, katanya, dalam tempoh berbaki ini memberikan peluang kepada Anwar untuk mengembalikan keyakinan kepada semua rakyat bahawa beliau sudah berbuat sehabis baik untuk kebaikan rakyat.

“Dalam pada itu, adalah mustahak untuk Perdana Menteri menyemak kembali sistem komunikasi kerajaan supaya segala pencapaian kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×