Shahril terbuka terima kekalahan

Shahril terbuka terima kekalahan

Shahril Mokhtar membuang undi pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menerima keputusan ahli gabungan yang tidak memilihnya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan hati terbuka.

Menurut Shahril, beliau tidak akan mengambil apa-apa tindakan susulan atau mencabar keputusan kongres walaupun terdapat pertikaian mengenai kelayakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

“Tidak (akan mencabar keputusan kongres). Demi semangat bola sepak, saya tidak akan buat. Harapan saya supaya buat kerja betul-betul, naikkan martabat bola sepak negara, buat secara tulus dan kesilapan lama jangan ulang,” katanya.

Apa yang diharapkan Shahril ketika ini adalah seluruh Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipilih Kongres Luar Biasa FAM, semalam dapat menjalankan tugas dengan baik dan mengangkat martabat bola sepak negara.

Impian Shahril untuk berada di kerusi No.1 FAM tidak kesampaian selepas jawatan itu menangi Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang meraih 20 daripada 25 undi keseluruhan.

Pada mesyuarat sebelum kongres, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang bertindak sebagai Pengerusi Majlis memulakan dengan membincangkan surat yang diserahkan FAS yang mempertikai kelayakan Abdullah.

Windsor menjelaskan, Kongres Luar Biasa boleh diteruskan, namun rayuan boleh dikemukakan sekiranya ada bantahan daripada perwakilan sekiranya berlakunya ‘kecacatan’ dalam melantik Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Selain itu, Shahril menjelaskan beliau akan terus menyumbang terhadap arena bola sepak menerusi peranannya di FAS dan Selangor FC.

“Jiwa saya jiwa bola sepak, saya tidak ke mana. Saya masih di FAS dan juga Selangor FC. Kalau hari ini kita tengok, perwakilan sudah buat keputusan, jadi kita harus hormati.

“Harapan saya satu, walaupun kita tengok balik 95 peratus adalah muka-muka lama, saya harap cara bekerja harus berubah demi bola sepak negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×