JELI: Hanya dengan tangan kosong, seorang warga emas mengerah kudrat menumbuk seekor gajah yang menyerangnya di kebun gerah di Kampung Lata Janggut, Batu Melintang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Shukri Hassan, 68, cedera di kepala dan pergelangan tangan kanan selepas terjatuh dari motosikal ketika cuba melarikan diri daripada serangan haiwan berkenaan.
Menceritakan detik cemas itu, Shukri berkata, sebaik sahaja memasuki kawasan kebun getah, dia terkejut melihat seekor gajah berada di hadapannya.
Katanya, dia menghentikan motosikal sebelum berpatah balik untuk menyelamatkan diri namun gajah liar itu mengejarnya.
“Gajah itu menghampiri dan menyerang saya yang ketika itu sedang menunggang motosikal sehingga terjatuh. Haiwan itu cuba menyerang sekali lagi dan saya hanya mampu menumbuknya untuk menyelamatkan diri. Gajah itu kemudian melarikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Shukri berkata, dia diselamatkan penduduk kampung kira-kira pukul 10.45 pagi sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kejadian itu adalah kali pertama dialaminya sepanjang empat tahun menoreh getah di kawasan berkenaan.
“Saya bersyukur kerana terselamat dan kejadian ini tidak mematahkan semangat untuk terus menoreh getah yang merupakan punca utama pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, kehadiran gajah liar di kawasan berkenaan disedari sejak seminggu lalu dan perkara itu sudah berada dalam pengetahuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, salah seekor daripada tiga haiwan berkenaan telah ditangkap.-UTUSAN.










