BESUT: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori ketika dalam perjalanan konvoi ke Kuala Perlis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi di Kampung Gong Kedak, di sini menyebabkan Mohd. Zamri Mohd Zaki, 41, dan pasangannya Norlyana Ismail, 45, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Katanya, kemalangan itu turut melibatkan dua buah lagi motosikal daripada kumpulan konvoi sama dan tiga mangsa berusia 50 hingga 51 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Nissan Tipper yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan dari arah Jerteh menghala ke Bachok, Kelantan. Pada masa yang sama, tiga buah motosikal jenis Aveta Nova 250 bergerak dari arah Kuala Besut menghala ke Perlis.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai memasuki laluan lori sebelum berlaku pelanggaran. Ia mengakibatkan sebuah lori terbabas dan merempuh motosikal ditunggang Mohd. Zamri dan Norlyana,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pasangan berusia 50 tahun dan 51 tahun yang menunggang sebuah lagi motosikal turut cedera selepas melanggar muatan tanah yang terjatuh di atas permukaan jalan.
Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN









