KUALA LUMPUR: Penganjur festival muzik Ultra Culture Malaysia 2026, Neptunes Presents, mendedahkan penyanyi, Hindia, merupakan artis terakhir yang memberi kata putus untuk menyertai senarai barisan persembahan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Izwan Johar berkata, pihaknya hampir berputus asa untuk mendapatkan Hindia kerana jadualnya yang padat.
“Sejujurnya, Hindia adalah yang paling mencabar. Idea asal penubuhan festival Ultra Culture ini memang untuk meletakkan Hindia sebagai penampil utama (headliner) kami.
“Namun, cabarannya sangat besar kerana jadualnya di Indonesia terlalu padat. Setiap minggu dia mempunyai persembahan di sana, menyebabkan komunikasi antara kami menjadi agak sukar.
“Selepas dia selesai di Mega Star dan pulang ke Indonesia, baru kami dapat bercakap balik. Alhamdulillah, Hindia adalah penyanyi terakhir yang kami berjaya secure untuk festival ini.
“Pada satu titik, saya sebenarnya sudah reda dan bersiap sedia jika dia tidak dapat menyertai kami kali ini,” katanya.
Izwan ditemui semasa sesi sidang media Ultra Kalter Malaysia 2026, di Volume KL, pada Khamis.
Menurut Izwan, proses rundingan menjadi semakin lancar hasil bantuan dan pengaruh daripada kelab peminat penyanyi itu di Malaysia.
“Terima kasih juga kepada team Hindia Malaysia’ (kelab peminat) yang banyak membantu memujuk pihak pengurusan Hindia untuk bersetuju datang ke sini.
“Minggu lalu baru Hindia memberi kata putus akan menyertai kami,”jelasnya.
Festival Ultra Culture Malaysia 2026 anjuran Neptunes Presents ini bakal menampilkan 19 artis dari Malaysia dan Indonesia sepanjang dua hari penganjuran.
Satu lagu persembahan daripada artis Indonesia masih dirahsiakan dan akan diumumkan semasa pengumuman senarai persembahan mengikut hari tidak lama lagi.
Selain Hindia, festival yang menelan
kos anggaran RM2.5 juta itu turut membariskan nama-nama besar termasuk diva tersohor Indonesia, Kris Dayanti, Sal Priadi, Pamungkas, Naykilla serta kumpulan indie tempatan seperti Rangkaian Fugo, Yhe Alif, Okirama dan Dukes.
Festival muzik Ultra Kalcer 2026 bakal berlangsung di KL Festival Park pada 7 dan 8 November ini. -UTUSAN










