PETALING JAYA: Battersea Power Station mengemukakan permohonan perancangan baharu bagi membangunkan baki kawasan seluas 6.47 hektar daripada keseluruhan 17 hektar kawasan tepi sungai itu, menerusi pelan induk yang bakal menambah sehingga 3.2 juta kaki persegi ruang kediaman, komersial dan riadah.
Pembangunan fasa seterusnya itu hampir menggandakan skala pembangunan yang telah disiapkan di kawasan kejiranan tepi sungai berkenaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Battersea Power Station sebagai antara projek pembaharuan bandar berskala besar di tengah London.
Pelan induk asal yang direka oleh Rafael Viñoly lebih 15 tahun lalu kini diperbaharui oleh Studio Egret West bagi menyesuaikannya dengan perubahan corak kehidupan bandar, kaedah bekerja serta aktiviti riadah masyarakat.
Pelan baharu itu turut mengambil kira maklum balas daripada orang awam dan pihak berkepentingan menerusi sesi rundingan yang berlangsung sepanjang musim panas.
Pengerusi Battersea Project Holding Company, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengemukaan pelan induk yang disemak semula itu merupakan langkah penting dalam merealisasikan pembangunan kawasan kejiranan bercampur tersebut.
“Projek pada skala dan tahap cita-cita seperti ini mengambil masa berdekad untuk direalisasikan, dan sepanjang tempoh itu bandar sememangnya berubah serta berkembang.
“Sebagai penjaga kepada sebahagian besar kawasan bandar yang masih belum dibangunkan, menjadi tanggungjawab kami untuk mengambil kira perubahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sejak projek itu dimulakan pada 2012, pembangunan Battersea Power Station berdepan cabaran besar termasuk memulihkan mercu tanda berstatus Bangunan Tersenarai Gred II serta menyediakan infrastruktur awam utama bagi menyokong ekosistem pembangunan bercampur.
Pelan baharu berkenaan mengekalkan konsep pembangunan bercampur dengan menyediakan ruang komersial dalam pelbagai saiz dan reka bentuk bagi menampung pelbagai jenis perniagaan, selain kediaman baharu, kemudahan kebudayaan dan ruang riadah.
Studio Egret West memperkenalkan pendekatan pembangunan yang membahagikan setiap fasa yang masih berbaki kepada kelompok bangunan lebih kecil bagi mewujudkan persekitaran yang lebih terbuka dan berhubung dengan kawasan sekitarnya.
Pelan tersebut juga menyediakan garis pandangan baharu ke arah Battersea Power Station, sekali gus mengukuhkan hubungan visual dengan mercu tanda bersejarah itu dan memastikan bangunan berkenaan kekal sebagai ciri seni bina dominan di kawasan tepi sungai tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, James Saunders berkata, perubahan dalam kehidupan bandar susulan pandemik Covid-19 dan peningkatan penggunaan teknologi digital telah mengaburkan sempadan antara pekerjaan, kehidupan dan masa lapang.
“Pelan induk yang diperbaharui ini meletakkan komuniti dan hubungan sebagai teras pembangunan Battersea Power Station.
“Daripada ruang hijau hingga peluasan sektor kebudayaan London, menyokong inovasi perniagaan, mewujudkan kediaman baharu dan ribuan peluang pekerjaan, cadangan bagi fasa seterusnya ini akan membina kejayaan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Fasa 5A yang merupakan sebahagian daripada pembangunan masa depan itu sudah menerima kelulusan perancangan terperinci dan akan menyediakan 200 unit rumah baharu milik majlis dengan kerjasama Wandsworth Council.
Fasa pembangunan lain pula tertakluk kepada perincian reka bentuk dan permohonan Reserved Matters.
Battersea Power Station kini menempatkan lebih 3,000 penduduk dan 8,000 pekerja serta menerima jutaan pengunjung setiap tahun, selepas kawasan bekas tapak janakuasa arang batu itu ditransformasikan menjadi kejiranan bercampur. – UTUSAN










