ALOR SETAR: Pengarah urusan sebuah syarikat pembekal baja yang ditahan bagi membantu siasatan isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) telah dibebaskan.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membebaskan lelaki berusia 30-an itu, sebaik tempoh reman terhadapnya tamat.
“Bagaimanapun suspek dikehendaki melaporkan diri di SPRM Kedah setiap bulan dan perlu hadir sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan,” kata sumber itu, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Ahad lalu, SPRM Kedah memperoleh kebenaran reman selama empat hari sehingga semalam, terhadap suspek yang dikeluarkan Majistret Eliana Ismail di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Dia ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, kira-kira pukul 2.30 petang, Sabtu lalu ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan SPRM menyiasat isu berkaitan kelewatan bekalan Baja 3 kepada kira-kira 40,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), di sini.
Ia susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa penghantaran baki bekalan kepada pesawah yang terjejas akan dilaksanakan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui anak syarikatnya, Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (MNFSB).
Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengemukakan surat kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, bagi memohon penamatan perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. sebagai pembekal Baja 3 disebabkan kelewatan yang berlaku.-UTUSAN










