Konflik Asia Barat mula beri kesan kepada bekalan elektrik

Konflik Asia Barat mula beri kesan kepada bekalan elektrik

AKMAL NASRULLAH Mohd. Nasir melakukan gimik penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Dalam Parlimen Johor Bahru berjumlah RM169,000 di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenaikan bil yang sedang dirasai oleh pengguna yang menggunakan tenaga elektrik lebih 600 kilowatt jam (kWh) sebulan merupakan sebahagian daripada krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkembangan itu merupakan kesan tertangguh (lagging effect) yang sebelum ini memberi kesan ketara terhadap pasaran petrol global.

“Bagi pengguna yang menggunakan lebih 600kWh sebulan, impak daripada kesan gangguan bekalan tenaga global itu kita dapat lihat sekarang.

“Seterusnya ketika ini kita dapat lihat kesan itu sudah merebak kepada bekalan tenaga yang lain termasuk dari segi harga gas asli, arang batu dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Dalam Parlimen Johor Bahru di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan.

Mesyuarat berkenaan akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Menurut Akmal Nasrullah, mesyuarat khas yang akan diadakan hari ini antara lain bagi menilai, menimbang dan mengambil maklum perkara yang dihadapi rakyat susulan perkembangan berkenaan.

“Cuma sudah pasti mekanisme yang mana Perdana Menteri menilai itu, mungkin ada ruang yang lain kita boleh teliti,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan struktur tarif semasa, majoriti pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 600kWh sebulan tidak menerima kesan langsung daripada perubahan harga bekalan atau kos bahan api.

“Berdasarkan kaedah tarif yang ada ketika ini, majoriti pengguna bawah 600kWh sebenarnya tidak mendapat impak terus dari segi kedudukan ataupun dari segi harga bekalan atau kos bahan api yang kita terima,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat ruang untuk kerajaan meneliti mekanisme lain, susulan perkembangan kos bekalan tenaga global.

Katanya, keadaan cuaca yang kurang baik juga meningkatkan penggunaan elektrik apabila orang ramai kekal berada dalam bangunan atau tempat lebih selamat.

“Bila cuaca yang kurang baik, memang kita nasihatkan untuk kekal di dalam bangunan, dalam tempat yang lebih selamat tetapi itu juga mungkin memberi kesan kepada penggunaan tenaga yang lebih,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×