Pencarian dua pemancing masih hilang diperluas ke Perak

Pencarian dua pemancing masih hilang diperluas ke Perak

Pemancing
MOHD. Syafiq Sazali menyampaikan taklimat operasi SAR yang memasuki hari keempat bagi mencari dua lagi mangsa masih hilang, di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di Kapar, Klang, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sektor pencarian dua lagi pemancing yang masih belum ditemui diperluaskan ke perairan Bagan Datuk, Perak dalam operasi yang memasuki hari keempat, hari ini.

Pencarian di kawasan berkenaan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) Nusa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak di perairan seluas 101.20 batu nautika persegi.

Mangsa yang masih dicari ialah Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 47, yang juga dikenali sebagai Tok Penghulu.

Pegawai Operasi Maritim Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali, berkata, pencarian yang dimulakan pada pukul 7 pagi tadi terus dilakukan di perairan berhampiran Tanjong Karang, Kuala Selangor seluas 449 batu nautika persegi.

“Pencarian di perairan Kuala Selangor melibatkan tiga buah bot. Pesawat bombardier juga masih diterbangkan untuk mencari dua lagi pemancing di kawasan seluas 816 batu nautika persegi.

“Bagaimanapun, pencarian di sekitar kawasan One Fathom Bank (Permatang Sedepa) berhampiran sempadan dan rumah api masih dibuat,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa di sini, hari ini.

Beliau menambah, pencarian turut dibantu oleh pasukan Bantuan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia bagi mencari di perairan dalam sempadan negara jiran.

“Pasukan kita tidak merentasi sempadan, namun jika terdapat keperluan itu kita akan berhubung dengan pihak mereka,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, identiti seorang pemancing yang meninggal dunia dikenal pasti iaitu, Allahyarham Mohd. Shahril Abdul Rahman, melalui pengecaman secara bergambar oleh ahli keluarganya.

Mayat allahyarham ditemukan dalam keadaan terapung oleh nelayan tempatan pada pagi semalam pada jarak 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.

Ahad lalu, tujuh pemancing dilaporkan hilang selepas keluar ke laut dengan menaiki sebuah bot bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar dari Jeti Sementa menuju ke Permatang Sedepa.

Namun pada hari kedua operasi SAR, iaitu hampir 36 jam pencarian di laut, empat pemancing dijumpai dalam keadaan lemah dan diselamatkan oleh nelayan pukat tunda sebelum diserahkan kepada Pasukan Polis Marin.

Mereka yang selamat iaitu, Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45 dan Zulfikalnain Awang, 47, yang merupakan tekong bot berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×