Bayaran interim Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion - Utusan Malaysia

Bayaran interim Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan bayaran interim bagi pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan akan dinaikkan kepada RM1.5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Persekutuan akan meneruskan rundingan dengan Sabah dan Sarawak bagi memuktamadkan formula penentuan jumlah pemberian khas tahunan itu.

“Bayaran interim kepada kedua-dua negeri sebelum ini dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM600 juta ketika rundingan bagi mengkaji semula pemberian khas itu masih berlangsung.

“Kemudian, kita menaikkannya kepada RM1.5 bilion untuk Sabah.

“Bagi Sarawak, kedudukan kewangan negeri ini kukuh, tetapi kita juga akan menaikkan bayaran itu kepada RM1.5 bilion atas semangat persahabatan,” katanya semasa Sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak hari ini.

Anwar turut mengumumkan beberapa penambahbaikan inisiatif Budi Diesel termasuk membenarkan pemindahan kuota diesel bersubsidi kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak.

Sebelum ini, pemindahan kuota itu terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

Selain itu, pemilik berdaftar yang mempunyai lebih daripada sebuah kenderaan diesel boleh memindahkan kuota bagi setiap kenderaan sehingga maksimum tiga kenderaan.

“Penambahbaikan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan bantuan khas pembelian tiket penerbangan sebanyak RM500 secara sekali (one-off) kepada setiap pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.

“Bantuan ini dijangka memanfaatkan 7,095 pelajar yang perlu menaiki penerbangan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memulakan pengajian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×