PETALING JAYA: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti langkah segera mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu akan melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Kewangan.
Kata beliau, keadaan jerebu serta cuaca lebih panas sejak kebelakangan ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik sebahagian isi rumah sehingga melepasi paras 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan dan tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
“Sekembali dari India dan Maldives, perhatian saya terus tertumpu kepada keresahan rakyat terkait kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini. Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera.
“Saya ingin menegaskan bahawa ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.
“Sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan naikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini,” katanya semalam.
Anwar berkata, kerajaan akan mempertahankan ikhtiar penyasaran subsidi bagi melindungi majoriti rakyat susulan keresahan berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.
“Kerajaan Madani akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Kebelakangan ini beberapa pihak menuntut penjelasan kerajaan berhubung isu kenaikan kadar bil elektrik yang didakwa membebankan pengguna.
Kelmarin, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam kenyataan memaklumkan AFA tidak menyebabkan peningkatan mendadak dalam bil pengguna.
“Sebaliknya, perubahan bil bulanan turut dipengaruhi corak penggunaan peralatan elektrik terutama ketika musim perayaan, cuti sekolah dan pelaksanaan aturan bekerja dari rumah.
“Oleh itu, kami menyarankan pengguna memantau penggunaan elektrik menerusi aplikasi myTNB, meningkatkan kecekapan tenaga serta beralih kepada skim Time of Use (TOU) bagi memanfaatkan kadar tarif lebih rendah pada waktu luar puncak,” katanya.
Menurut TNB, pengguna domestik dengan penggunaan 600 kWj dan ke bawah sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada caj AFA selain cukai perkhidmatan lapan peratus dan Caj Peruncitan.
Di bawah struktur tarif baharu, kumpulan pengguna berkenaan membayar kira-kira dua hingga 14 peratus lebih rendah berbanding tarif sebelum ini, bergantung kepada tahap penggunaan.
Jelas TNB, AFA bukan caj tambahan baharu dan ia tidak menyalurkan keuntungan kepada TNB sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme dua hala untuk mengimbangi perubahan kos bahan api dan kadar tukaran wang asing.
TNB berkata, apabila kos bahan api global lebih rendah, pengguna menikmati rebat dengan penjimatan berkenaan dipulangkan menerusi bil elektrik.
“Sejak pelaksanaan tarif elektrik baharu, pengguna menikmati rebat AFA selama sembilan bulan berturut-turut dari Ogos 2025 hingga April lalu.
“Surcaj pula hanya mula dikenakan pada Mei lalu apabila kos penjanaan meningkat susulan krisis di Asia Barat,” katanya.-UTUSAN.










