Malaysia, India bincang seimbangkan perdagangan

Malaysia, India bincang seimbangkan perdagangan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rangka kerja perdagangan antara Malaysia dengan India dijangka dikaji semula dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang bagi mengimbangi aliran barangan serta meningkatkan perdaga­ngan dua hala.

Menteri Pelaburan, Perda­gangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, lebihan dagangan Malaysia dengan India menjadi antara tumpuan perbincangan dalam pertemuannya dengan Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal di New Delhi.

Katanya, India menekankan kepentingan hubungan perdagangan lebih seimbang khusus­nya ketika Malaysia kini mencatat lebihan daga­ngan yang besar dengan negara berkenaan.

“Menteri itu menekankan kepentingan mengekalkan imbangan perdagangan yang baik sebagai sebuah negara yang berdagang dengan India.

“Buat masa ini, kita menca­tat lebihan yang agak besar dengan India manakala perkara lebih membimbangkan mereka ialah jumlah lebihan dagangan negara-negara ASEAN telah mencecah RM42 bilion,” katanya.

Johari sebelum ini mengiri­ngi lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi, India bagi me­­n­yer­tai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.

Pada 2025, Malaysia menca­tatkan lebihan dagangan berjumlah RM25.37 bilion de­ngan India manakala nilai perdaga­ngan dua hala sebanyak RM79.33 bilion menurun lima peratus berbanding RM83.5 bi­lion (AS$18.25 bilion) pada 2024.

Johari berkata, Malaysia per­lu memanfaatkan pasaran pengguna India yang luas iaitu kira-kira 1.4 bilion hingga 1.5 bilion penduduk untuk mengembangkan perdagangan dua hala dan bukan sekadar memberi tumpuan kepada eksport.

Katanya, terdapat ruang besar untuk syarikat tempatan menembusi pasaran India yang luas selain meningkatkan import, pelaburan dan kerjasama komersial antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia turut melihat langkah memperkukuhkan perdagangan antara ASEAN dan India, di samping usaha mempertingkat rangka kerja perdagangan dua hala antara Malaysia dengan India.

“Menteri Perdagangan India sangat berminat meneroka perkara ini dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang termasuk bagaimana kita boleh mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) supaya kedua-dua negara dapat memanfaatkan pasaran masing-masing dan meningkatkan perdagangan,” katanya.

Menurut Johari, perbincangan itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang khususnya ketika corak perdagangan global terus berubah.

“Kita tidak boleh hanya berdagang dengan satu atau dua negara. Kita mahu berdagang dengan semua negara, terutama yang mempunyai jumlah penduduk besar,” katanya.

Beliau berkata, peluasan ke pasaran besar akan memberi lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia untuk berkembang, selain membantu negara mempelbagaikan perdagangan dengan rangkaian rakan dagang yang lebih luas.

Malah katanya, lawatan tiga hari ke India turut membuka peluang kerjasama lebih rapat dalam bidang termasuk industri automotif dan minyak sawit, selain usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuhkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Objektif Malaysia bukan sekadar meningkatkan eksport ke India sebaliknya membina hubungan perdagangan lebih seimbang dengan mewujudkan peluang kepada perniagaan di kedua-dua negara.

“Sebagai sebuah negara kecil, kita mahu melihat bagaimana kita boleh bekerjasama dengan India yang mempunyai jumlah penduduk yang besar dan mewujudkan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara, bukannya hubu­ngan satu hala,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di media sosial, Goyal berkata, pertemuan itu mene­liti hubungan ekonomi India-Malaysia dengan perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, menambah baik akses pasaran serta memperkukuhkan jaringan rantaian bekalan dalam bidang yang mempunyai kekuatan saling melengkapi.

Katanya, India kekal komi­ted bekerjasama rapat dengan Malaysia secara dua hala dan menerusi kerangka India-ASEAN bagi merealisasikan sepenuhnya potensi hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua pihak.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×