GAZA: Sekurang-kurangnya 20 orang termasuk kanak-kanak maut dan lebih 100 lagi masih hilang pada Rabu selepas sebuah bangunan pangsapuri di Gaza runtuh akibat kerosakan yang dialami berikutan serangan Israel, menurut pihak berkuasa di wilayah berkenaan.
Pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas berkata, bangunan enam tingkat itu runtuh pada waktu malam sebelum menimpa rumah dan khemah pelarian berdekatan di kawasan Tal al-Hawa, Gaza City.
“Kami kini berlumba dengan masa dalam keadaan yang kejam dan setiap minit bermakna satu lagi nyawa terkorban.
“Suara orang yang meminta pertolongan masih boleh didengar dari bawah runtuhan.
“Pasukan penyelamat bekerja dengan sumber yang amat terhad. Kami tidak mempunyai jentera berat dan peralatan yang diperlukan untuk mengalihkan bongkah konkrit dan menyelamatkan mereka yang terperangkap,” katanya kepada Al Jazeera.
Menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Mounir al-Bursh lebih 75 nama mangsa yang hilang telah didaftarkan oleh ahli keluarga setakat ini, termasuk kira-kira 50 kanak-kanak.
Beliau berkata, lebih 2,000 bangunan di seluruh Gaza turut berisiko runtuh akibat serangan berulang tentera Israel.










