Shereen enggan datang Aichi-Nagoya pertahan gangsa

Shereen enggan datang Aichi-Nagoya pertahan gangsa

Shereen Samson Vallabouy meraikan kejayaannya memenangi pingat emas acara 400 meter Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy tidak mahu status pemenang gangsa Sukan Asia menjadi beban apabila realitinya tugasan lebih besar menanti untuk sekurang-kurangnya memastikan tempat di final Aichi-Nagoya.

Shereen yang bakal membuat penampilan kedua di temasya itu sedar kedudukannya di ranking ke-14 Asia serta persaingan sengit pencabar yang sudah menghimpunkan catatan dalam lingkungan 52 saat (s) menjadikan laluan ke podium kali ini jauh daripada mudah.

“Sasaran saya adalah melakukannya selangkah demi selangkah, pertama sekali saya mahu mara ke final dan selepas itu cuba menghasilkan perlumbaan terbaik kerana dalam olahraga, apa sahaja boleh berlaku pada hari pertandingan,” katanya.

Pelari berusia 28 tahun itu hadir dengan catatan terbaik musim 52.73 saat yang dilakukannya Jun lalu, manakala dua pelari Bahrain di kelompok teratas Asia serta beberapa wakil India yang sudah mencatat masa sekitar 51 saat dijangka menjadi antara pencabar utama.

Shereen bagaimanapun tidak melihat jurang catatan itu sebagai alasan untuk merendahkan keyakinan, sebaliknya mahu memastikan segala persiapan yang sudah dilakukan dapat diterjemahkan ketika berada di trek.

“Saya rasa yakin kerana sudah melakukan segala persiapan dan memberikan sepenuh usaha, sekarang tiba masanya untuk turun ke trek dan berlumba,” katanya.

Jika di Hangzhou 2022 Shereen mendapat pendedahan pertandingan bertaraf tinggi secara lebih konsisten ketika berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), musim ini menyaksikan jumlah perlumbaannya lebih sedikit selepas banyak menjalani persiapan di Malaysia.

Namun, kekurangan dari segi jumlah perlumbaan itu tidak dianggapnya sebagai penghalang kerana kemudahan latihan dan sokongan perubatan di Institut Sukan Negara (ISN), selain pengalaman luas dalam acara 400m, memberikan bekalan mencukupi untuk mengharungi cabaran di Aichi-Nagoya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×