Pakar maritim gesa penjelasan bertulis isu kargo K8 RM220 juta - Utusan Malaysia

Pakar maritim gesa penjelasan bertulis isu kargo K8 RM220 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa mengeluarkan penjelasan bertulis berhubung layanan kawal selia terhadap dua kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta di bawah prosedur Kastam K8 di Tanjung Langsat, Johor.

Pakar industri maritim Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, penjelasan rasmi diperlukan bagi memperincikan tanggungjawab pihak terlibat serta menjawab persoalan mengenai pengendalian dan dokumentasi kargo berkenaan.

Jeyenderan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd berkata, syarikatnya bertindak sebagai ejen kapal bagi kedua-dua pergerakan kargo itu, bukannya pemilik kargo, pengendali terminal, makmal, pengikrar atau pihak berkuasa kawal selia.

Menurut laporan syarikat bertarikh 26 Ogos, kedua-dua kargo itu berjumlah 76,954.325 tan metrik Atlanta Crude bernilai RM220,253,176.38, yang dipunggah di Tanjung Langsat dan dikaitkan dengan tangki T-5001, T-5004 serta T-5008 di DIALOG Terminals Langsat (DTL).

Beliau berkata, rekod berkaitan tangki, penjagaan kargo, ujian dan pergerakan produk diperlukan bagi menjelaskan pengendalian kargo selepas dipunggah, termasuk sama ada berlaku pencampuran, pengadunan atau penambahan bahan lain.

“Namun, perkara itu tidak membuktikan bahawa mana-mana kargo tertentu telah dicampur atau diadun. Sebaliknya, ia menjelaskan mengapa rekod berkaitan tangki, penjagaan kargo, ujian dan pergerakan kargo diperlukan bagi memperjelas apa yang berlaku kepada kargo berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan berkata persoalan itu turut meliputi peraturan dan kelulusan bagi kargo K8, kesan sebarang aktiviti pencampuran terhadap klasifikasi kargo serta bagaimana pergerakannya direkodkan dari masa ketibaan sehingga berlepas.

“K8 ialah pengikraran Kastam bagi barangan yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan penghantaran semula di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan sama ada Petronas pernah dirujuk berhubung kargo terbabit, termasuk pihak yang mendapatkan pandangan itu, dokumen yang diteliti dan sama ada nasihat bertulis diberikan.

Jeyenderan berkata syarikatnya turut memohon rekod operasi, termasuk sejarah tangki, penjagaan kargo, pergerakan produk, keputusan ujian serta rekonsiliasi antara kargo masuk dan keluar, bagi memperjelas tanggungjawab setiap pihak.

“Semakin lama ketidakpastian ini berterusan, semakin sukar bagi syarikat menjelaskan peranannya berdasarkan pendirian kawal selia yang jelas dan berautoriti,” katanya.

Beliau berkata permintaan itu bukan tuduhan terhadap Petronas, DTL atau mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mendapatkan kejelasan mengenai keperluan yang terpakai.

Jeyenderan turut merujuk hasil semakan SPRM yang dimaklumkan tidak menemukan asas bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan tiada ketirisan hasil dikenal pasti setakat ini, namun menegaskan perkara itu berasingan daripada persoalan pematuhan Kastam.

“Apa yang kami mahukan ialah kejelasan mengenai keperluan yang terpakai serta tanggungjawab setiap pihak yang terlibat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×