KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut penjelasan kerajaan berhubung isu kenaikan kadar tarif elektrik yang membebankan pengguna.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna mempunyai hak untuk mengetahui asas dan justifikasi sebarang kenaikan tarif elektrik memandangkan mereka merupakan pihak yang menanggung kos melalui pembayaran bil setiap bulan.
“Kita terima hampir ratusan aduan pengguna berkaitan kenaikan bil elektrik melambung tinggi. Saya rasa kerajaan lebih perlu mengatur langkah untuk menjaga pengguna sebab kepentingannya adalah pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah restoran di sini hari ini.
Nadzim turut mempersoalkan kenaikan tarif asas elektrik sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh) mulai 1 Julai 2025 bagi tempoh awal selia 2025 hingga 2027.
Katanya, ia termasuk isu Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) yang didakwa berubah secara ketara termasuk mencecah negatif 0.47 sen per kWh menjelang April 2026 berbanding kadar rebat yang lebih tinggi sebelum ini, sekali gus mengurangkan penjimatan subsidi yang dinikmati pengguna.
“Kita mahu tahu, adakah wakil pengguna terlibat? Kita setiap bulan membayar bil tetapi wakil pengguna pun tidak ada suara. Apa dasarnya?,” katanya.
Nadzim mendesak kerajaan menilai semula pendekatan berkaitan tarif elektrik dengan mengambil kira kemampuan serta kepentingan pengguna, khususnya golongan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd. Zai Mustafa mempersoalkan sama ada kerajaan masih mempunyai kawalan dalam keputusan kenaikan tarif elektrik.
Katanya, kebiasaannya sebarang kenaikan tarif diumumkan kerajaan terlebih dahulu supaya rakyat mempunyai ruang untuk memahami serta memberikan pandangan sama ada kenaikan berkenaan wajar atau sebaliknya.
“Adakah kerajaan sudah hilang kawalan sehingga boleh membuat satu kenaikan tanpa pengumuman dan tanpa kelulusan daripada menteri sedangkan perkara ini melibatkan rakyat?.
“Sekarang ini kerajaan senyap, tiba-tiba pengguna sahaja yang merasai perkara itu. Kita rasa sistem yang berlaku ini sudah pelik dan tidak seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN







