KDN tegas musnahkan sindiket manipulasi sistem pekerja asing, palsu dokumen

KDN tegas musnahkan sindiket manipulasi sistem pekerja asing, palsu dokumen

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rantaian sindiket yang memanipulasi sistem pekerja asing dan memalsukan dokumen akan dimusnahkan dari akar umbi tanpa sebarang toleransi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, kegiatan sindiket itu bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran imigresen malah mengancam keselamatan awam dan membuka ruang kepada kemasukan warga asing secara haram.

“Sepanjang saya menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN), kami membuktikan bahawa kuasa pentadbiran mesti digunakan secara berani demi melindungi keselamatan negara.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara menyerang untuk melumpuhkan punca utama sindiket,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Saifuddin berkata, ketegasan itu dibuktikan menerusi penguatkuasaan pantas dan tanpa kompromi oleh JIM dalam Op Serkap pada 14 September lalu apabila 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur digempur secara serentak.

Katanya, operasi itu membawa kepada penahanan 30 warga asing dengan 11 daripadanya disyaki dalang utama terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita Bangladesh yang mengendalikan premis berkenaan.

“Sebanyak 19 lagi warga asing terdiri daripada 16 warga Bangladesh, seorang Myanmar dan dua Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Dalam operasi itu, 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit serta 10 pasport antarabangsa Bangladesh dirampas, selain cetakan Pas Lawatan Kerja Sementara elektronik (e-PLKS) dan laporan polis palsu.

“e-PLKS palsu dijual pada harga RM150 sehelai manakala laporan polis palsu pula ditawarkan pada kadar RM70 setiap satu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan komited memastikan sistem imigresen kekal bersih, pintu masuk negara dikawal ketat serta pasaran kerja tempatan dilindungi daripada eksploitasi sindiket haram.

“Malaysia bukan padang permainan untuk penjenayah. Mana-mana pihak asing atau warga tempatan yang cuba melanggar undang-undang, memalsukan dokumen atau mengendalikan aktiviti haram akan diburu, ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×