KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkemas Garis Panduan Permit Meletakkan Kerusi dan Meja di Luar Premis Restoran dan Kedai Makan (KEJA) dengan memperkenalkan stiker permit.
Ia sebagai mekanisme yang selaras dengan pendekatan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, kadar permit ditetapkan sebanyak RM30 sebulan bagi setiap set kerusi dan meja supaya penggunaan ruang di luar premis dibuat secara sah, terkawal dan hanya di kawasan dibenarkan.
Menurutnya, garis panduan itu bukan sesuatu yang baharu kerana telah wujud sejak 2017 dengan DBKL menerima lebih 100 permohonan pada 2023 dan lebih 200 pada 2024.
“Kami telah meluluskan sebanyak 124 permit pada 2023 iaitu merangkumi permohonan baharu, pembaharuan dan rayuan. Jumlah kelulusan meningkat kepada 160 permit pada 2024 dan 247 permit pada 2025.
“Proses kelulusan permohonan baharu kini dilaksanakan secara desentralisasi melalui 11 Pejabat Cawangan DBKL di seluruh Kuala Lumpur, tertakluk kepada kesesuaian ruang di luar premis masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di di Tiffiny 55 di sini hari ini.
Beliau berkata, kuasa untuk meluluskan permit kini diturunkan kepada pengurus kawasan bagi setiap kawasan Parlimen untuk membolehkan permit dikeluarkan serta-merta di lapangan tanpa perlu hadir ke Menara DBKL 1.
“Ini dapat menjimatkan masa bagi pemilik-pemilik restoran kerana tidak perlu lagi pergi ke DBKL, sebaliknya pengurus kawasan yang akan turun,” katanya.
Fadlun berkata, kelulusan permit tetap mengambil kira keluasan minimum laluan pejalan kaki di kaki lima iaitu sekurang-kurangnya 2.5 hingga tiga kaki, bagi memastikan pergerakan pejalan kaki termasuk pengguna kerusi roda tidak terjejas.
Katanya, setiap permohonan baharu diberikan kelulusan awal bagi tempoh enam bulan untuk dinilai tahap pematuhan sebelum sebarang pembaharuan dipertimbangkan. – UTUSAN










