PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar dari arah Jalan Duta menghala ke Jalan Tun Razak, petang tadi.
Lelaki berusia 30-an itu maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.38 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR di laluan selekoh sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kanan pembahagi jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke HKL untuk proses bedah siasat serta mengenal pasti punca kematian.
“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN










